Tapir Tapir Bukit Cherakah mati lagi

Tapir Bukit Cherakah mati lagi

Sumber : Utusan Malaysia 30.04.2008

SHAH ALAM 29 April - Seekor tapir betina ditemui mati dipercayai dilanggar kenderaan di jalan berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Puncak Alam di sini semalam.

Bangkai tapir seberat 120 kilogram itu ditemui orang ramai yang lalu di kawasan tersebut kira-kira pukul 7.30 pagi. Kejadian itu merupakan kali kedua kejadian tapir mati dilanggar dilaporkan berlaku di kawasan sekitar Puncak Alam. Kejadian pertama berlaku pada tahun 2005.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Rahmat Topani berkata, tapir tersebut dipercayai seekor daripada dua tapir liar yang menghuni kawasan bukit-bukau dan hutan tebal berhampiran hutan Bukit Cherakah. Beliau berkata, pihaknya yang dimaklumkan mengenai perkara itu segera ke tempat kejadian dan sehingga kini tiada maklumat tepat jenis kenderaan dan bila tapir tersebut dilanggar.

"Kini bangkai tapir itu berada di Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk dibedah siasat dan diawetkan sebelum diserahkan kepada pihak muzium kerana tapir adalah haiwan yang hampir pupus dan dilindungi di negara ini," katanya di sini.

Menurut Rahmat lagi, bagi mengelakkan kejadian sama berulang, pihak Perhilitan akan menjalankan operasi besar-besaran untuk mencari seekor lagi tapir yang dipercayai menghuni kawasan hutan Bukit Cherakah.

Beliau berkata, semasa kejadian pertama pada 2005, pihaknya berjaya menangkap dua ekor tapir dan dua lagi gagal dikesan.

"Kita percaya ada seekor lagi atau mungkin lebih kerana yang mati dilanggar ini adalah tapir betina.

"Usaha mencari haiwan tersebut akan dimulakan esok," ujarnya.

 
Banner
Banner
Banner