rencana asal di http://www.sinarharian.com.my/com/content/story2516823.asp
SAYA berkali-kali berfikir mengenai keengganan anak lelaki ke asrama penuh. Padahal keputusan Penilaian Menengah Rendahnya amat membanggakan dan kebanyakan rakan-rakannya telah pun ke asrama penuh.
Sebagai ibu dan bapa kami tidak mahu memaksa. Sekarang meski pun dia terus ke Tingkatan 4 di sekolah harian namun pembelajarannya masih memuaskan. Malah di sekolah berkenaan ada ramai lagi pelajar yang enggan ke asrama penuh dengan pelbagai alasan tersendiri.
Guru besar sekolah berkenaan memberitahu, terdapat lima kelas kawalan di sekolah berkenaan. Ini bermakna hampir sembilan puluh sembilan peratus daripada pelajar dalam kelas kawalan berkenaan yang mempunyai keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Akhirnya dalam satu perbualan bersama anak lelaki kami baru-baru ini muncul juga antara punca penyebab mengapa dia enggan ke asrama penuh. Katanya ada banyak faktor penyumbang. Namun salah satu daripada yang diberitahu ialah dia risau konsep senior-junior di asrama.
Daripada cerita rakan-rakannya senior amat berkuasa katanya. Senior bukan macam mak dan bapa. Mereka lebih teruk dari mak dan bapa tiri, kata mereka. Dan satu lagi pengakuannya, minggu suai kenal membabitkan senior-junior itulah yang membimbangkannya.
Semalam pula saya membaca kenyataan Bernama mengenai Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) yang mencadangkan supaya konsep senior-junior di asrama dihapuskan kerana berpendapat ia adalah faktor penyumbang kepada kejadian gengsterisme di sekolah.
Presidennya, Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, konsep berkenaan turut menyumbang kepada kejadian sosial lain seperti seks bebas serta membawa masuk pengaruh luar ke sekolah.
Beliau mencadangkan perkara itu sebagai antara langkah bagi membanteras gengsterisme di sekolah yang kini dilihat semakin berleluasa sehingga membabitkan kematian dan menimbulkan kegelisahan ibu bapa.
Minggu lalu saya sengaja mengelak anak lelaki saya menonton berita mengenai gejala buli di Kuching, di mana seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah berasrama di Dalat disepak dan dipukul termasuk dengan menggunakan cerek air oleh sekumpulan pelajar lain yang masih berpakaian seragam sekolah dalam sebuah bilik asrama.
Saya bimbang dia bertambah gerun untuk tinggal jauh dari kami sebaik dia habis Sijil Pelajaran Malaysia nanti. Walaupun Kementerian Pelajaran memandang serius gejala itu dan pernah dilapor mengenakan hukuman berat terhadap pelajar yang terlibat, hukuman seperti dibuang sekolah dan tindakan disiplin seolah-olah tidak memberi kesan dan pengajaran kepada mereka.
Baru-baru ini di Kuala Lumpur pula, seorang pelajar tingkatan empat meninggal dunia di hospital setelah tidak sedarkan diri akibat cedera parah di kepala kerana dibelasah berhampiran sekolahnya di Cheras pada 13 Februari lepas gara-gara berebut teman wanita.
Hal ini amat berbeza pada zaman saya tinggal di asrama dulu. Meski bercampur berlainan agama, bangsa dan darjat namun kami bagaikan adik-beradik. Malah saya yang memang berasal dari Kuala Lumpur dan tidak ada kampung halaman, diajak oleh sesiapa sahaja yang mahu membawa saya balik ke kampung mereka.
Rakan Cina mempelawa dan saya setuju mengikut mereka balik ke kampung di Bahau, Negeri Sembilan. Hiduplah saya dalam lingkungan keluarga Cina itu. Namun dengan syarat anjing mereka ditambat selama dua hari saya di rumah keluarga Cina itu dan saya hanya makan roti sahaja dicicah teh kosong atau disapu seri kaya sahaja.
Dalam masa yang sama rakan India tetap berkecil hati jika saya tidak dapat mengikut dia balik ke estet. Malah rakan Cina dan India yang pulang dari kampung pasti akan membawa balik makanan hasil masakan ibu mereka dengan syarat ‘halal’ dimakan oleh yang beragama Islam.
Tidak dinafi hubungan kami yang berlainan agama dan bangsa semasa di asrama, masih kekal hingga sekarang. Ini dikuatkan lagi dengan kunjung mengunjung pada musim perayaan hatta jika ada majlis kenduri, mereka masih tetap dijemput.
Namun kini kita perhatikan suasana berkenaan semakin terhakis. Hubungan antara kaum dilihat semakin renggang. Anak sulung yang belajar di kampus selalu saya suruh membawa balik rakan-rakan bangsa asing ke rumah terutama di hujung minggu. Namun dia tetap memberi alasan; payahlah, tak mahu, susahlah...
Akhirnya saya tetap tempelak dia mengatakan; sebenarnya awak yang sudah mengaku payahlah... susahlah... sebelum awak mencuba. Atau jangan-jangan rakan bangsa asing pernah mempelawa balik ke rumah mereka dan awak pula yang tak mahu...!