dipetik daripada Utusan Malaysia
DALAM hidup saya, seingat saya, saya baru beberapa kali berurusan secara langsung dengan jabatan-jabatan kerajaan. Mungkin tidak sampai sepuluh kali. Kali pertama semasa saya kecil apabila membuat kad pengenalan, kemudian ketika surat beranak saya hilang.
Dalam kehidupan dewasa saya, saya beberapa kali telah berurusan dengan jabatan kerajaan, iaitu untuk ujian memandu kereta, proses permohonan perkahwinan di jabatan agama, membuat permohonan pasport, proses menukar sekolah anak dan memohon pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli rumah.
Lapan tahun lalu saya membuat laporan polis bilamana rumah saya dimasuki pencuri dan beberapa tahun kemudian terpaksa ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ekoran potongan cukai berjadual (PCB) yang dikenakan ke atas saya agak tinggi. Dua kali selepas itu saya ke Jabatan Imigresen untuk menguruskan pengambilan pembantu rumah.
Seingat saya, itulah sahaja masa saya berurusan dengan jabatan kerajaan.
Jadi, apabila orang menceritakan kepada saya tentang kerenah birokrasi dan masalah dalam sistem penyampaian kerajaan, saya tiada sebarang komen yang negatif. Saya tidak mempunyai pengalaman seperti orang lain.
Bagaimanapun, semalam persepsi saya terhadap sistem penyampaian kerajaan telah berubah selepas saya terpaksa menghabiskan masa sehari suntuk di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya untuk menguruskan pembayaran kompaun pembantu rumah saya yang permitnya sepatutnya diperbaharui dua bulan lalu.
Masalah itu sebenarnya bermula pada 9 Ogos 2008 apabila saya mendaftar untuk membuat pemeriksaan kesihatan melalui FOMEMA Sdn. Bhd.
Rupa-rupanya klinik-klinik panel FOMEMA diberi kuota tertentu dalam setahun. Jika kuota pemeriksaan pekerja asing telah dipenuhi dalam bulan atau tahun berkenaan, sesebuah klinik itu tidak dibenarkan lagi membuat pemeriksaan perubatan ke atas pekerja asing.
Memandangkan sebuah klinik yang terletak berhampiran dengan rumah saya di Bandar Utama, Petaling Jaya telah penuh kuotanya, isteri saya terpaksa membawa pembantu rumah kami membuat pemeriksaan perubatan sebelum permit diperbaharui di sebuah klinik panel FOMEMA lain di Kelana Jaya.
Sesudah menunggu selama seminggu, keputusan pemeriksaan perubatan itu belum juga dimasukkan dalam laman web FOMEMA sedangkan tarikh tamat permit ialah pada 14 Ogos. Kami menunggu lagi selama seminggu, tidak ada juga sebarang khabar.
Setelah dua minggu, satu notis dalam laman web FOMEMA meminta kami merujuk kepada klinik berkenaan. Kami pun menelefon klinik itu, dan doktor yang bertugas memberitahu, FOMEMA tidak dapat mengesan penerimaan sampel darah dan urin pembantu rumah kami yang telah diberikan pada 9 Ogos.
Nasihatnya kepada kami ialah bawa pembantu rumah ke klinik sekali lagi untuk mengambil semula sampel darah dan urin. Proses ujian itu dan keputusannya kemudian mengambil masa beberapa hari lagi.
Saya boleh mengatakan bahawa diri saya seorang yang sibuk. Saya terpaksa bekerja untuk mencari rezeki, biasanya dari pagi sehinggalah ke malam. Apabila berlaku ketidaktentuan dalam perkara-perkara di luar dugaan seumpama itu, sukar bagi saya merancang hari cuti untuk membuat pembaharuan permit pembantu rumah.
Kesilapan saya ialah saya menganggap hal-hal itu perkara kecil yang boleh ditangguhkan. Mencari rezeki lebih utama pada saya.
Akibatnya, apabila masuk bulan September, dengan mood Ramadan dan Aidilfitri dirasai oleh semua orang, saya semakin terlupa untuk memperbaharui permit tersebut. Laporan-laporan akhbar yang menceritakan bagaimana Jabatan Imigresen di Putrajaya penuh sesak dengan pekerja asing yang memperbaharui permit untuk pulang berhari raya ke negara masing-masing membantutkan lagi rancangan. Ah, selepas rayalah saya akan ke Putrajaya.
Hanya semalam, pada hari ke-16 bulan Syawal, baru saya berpeluang mendapat cuti untuk ke Jabatan Imigresen di Putrajaya bagi memperbaharui permit itu.
Saya bertolak dari rumah ke Putrajaya pada pukul 8 pagi. Selepas bersarapan, saya, isteri dan anak lelaki saya tiba di kaunter jabatan itu pada pukul 9.30 pagi. Saya diberitahu bahawa kelewatan memperbaharui permit selama dua bulan menyebabkan saya, selaku majikan, akan dikompaun sebanyak RM1,100.
Selepas berjumpa pegawai untuk membuat rayuan pengurangan kompaun, saya beratur di kaunter bahagian penguat kuasa di tingkat empat Ibu Pejabat Jabatan Imigresen. Saya berbaris mulai pukul 10 pagi, dan hanya mendapat tiket giliran pada pukul 10.42 pagi.
Untuk membayar kompaun itu, saya terpaksa menanti selama empat jam.
Pada pukul 1.22 petang, nombor giliran saya 3048 masih belum disebut sedangkan ada banyak nombor selepas itu seperti 3049, 3054, 3055 dan 3081 telah dipanggil.
Saya agak bingung. Adakah saya telah terlepas nombor giliran saya?
Saya pun pergi ke kaunter bertanya pegawai di situ bilakah nombor 3048 akan dipanggil. Mula-mula beliau berkata, nombor itu telah terlepas. Saya kata, tidak mungkin kerana saya ada sepanjang masa di situ dan saya catatkan apa yang berlaku.
Kalau saya hilang sekejap dari ruang menunggu itu, ia hanya berlaku dua kali, dalam senggang masa tidak sampai lima minit. Kali pertama saya terpaksa membuat salinan fotostat pasport dan kad pengenalan. Di mana saya boleh fotostat? "Pergi ke tingkat dua," kata seorang pegawai. Saya kena turun ke tingkat dua semata-mata untuk membuat salinan dokumen-dokumen itu.
Kali kedua, tidak lama kemudian, saya ingin pula pergi ke bilik air. Di mana? "Tingkat satu, itu tandas untuk orang awam," kata seorang pegawai lain. Bilik air yang saya gunakan itu hanya mempunyai dua tandas, salah satunya telah rosak. Tiada sebarang kertas tisu dalam bilik air itu, dan tempat tisu itu pula telah jadi bekas puntung rokok yang dicampak oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Setelah ditanya bilakah nombor 3048 akan dipanggil, seorang pegawai berusaha mencari fail, dan menemui fail itu pada seorang pegawai wanita yang memberitahu saya: "Tunggulah encik, fail ini belum diproses lagi."
"Selepas tiga jam?" soal saya.
Pegawai itu agak resah kerana beliau tidak henti-henti bekerja sejak pagi. Saya juga kepenatan kerana telah terlalu lama melepak di situ.
Ruang menunggu di kaunter bahagian penguat kuasa itu mempunyai bilangan kerusi yang sedikit berbanding pelanggannya yang ramai. Ketika saya bertanya nombor giliran saya pada pukul 1.22 petang, saya sebenarnya telah pun berdiri di situ selama 3 jam 22 minit.
Komplen saya dilayan oleh seorang pegawai lelaki yang baik hati. Hasil inisiatif beliau saya akhirnya dapat membayar kompaun yang telah dikurangkan sedikit kepada RM800. Ia dibayar kepada juruwang pada pukul 1.34 petang dan selepas melalui proses tertentu, menjelang pukul 2.08 petang pasport pembantu rumah saya dipulangkan bersama resit dan surat-surat berkaitan.
Saya bercadang untuk mengadu mengenai kelambatan itu. Ada satu papan notis diletakkan di satu sudut mengatakan siapa yang hendak mengadu boleh mengisi borang yang disediakan. Saya berjumpa pegawai yang duduk dekat papan notis itu, memberitahunya saya mencari borang berkenaan. Beliau menyatakan kepada saya, "Kita sudah tidak letakkan borang aduan. Ramai orang suka conteng."
Kerja-kerja untuk memperbaharui permit itu kemudian beralih ke bahagian lain Jabatan Imigresen dan ia hanya siap sepenuhnya pada pukul 3 petang. Ketika itulah saya bertemu dengan seorang editor wanita muda yang bekerja dengan akhbar KOSMO!. Editor itu memberitahu, dia telah berada di situ sejak pukul 9 pagi, dan terpaksa ke Wangsa Maju, kira-kira 40 kilometer dari Putrajaya, semata-mata untuk mematikan setem hasil dokumen yang hendak dikemukakan kepada Jabatan Imigresen bagi tujuan pengambilan pembantu rumah.
Saya beredar dari Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, singgah sebentar makan tengah hari di medan selera di Dataran Putra, sebelum tiba di rumah pada pukul 5 petang.
Pengalaman semalam memberi pengajaran kepada saya. Sesuatu yang saya anggap remeh telah mengorbankan masa saya selama sembilan jam. Adakah masa menunggu yang lama itu silap saya atau salah sistem penyampaian kerajaan?
Pengalaman itu juga menyedihkan kerana saya terkenang cerita Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan kepada para pegawai awam, mengingatkan mereka tentang kesukaran penduduk kampungnya di Cherok Paloh dekat Pekan, Pahang untuk membayar cukai tanah pada tahun 1950-an.
Menurut Mohd. Sidek, pada tahun 1950-an apabila penduduk Cherok Paloh ingin membayar cukai tanah, mereka berjalan kaki atau naik basikal. Sebelum dapat sampai ke jalan besar untuk ke Pekan, mereka terpaksa menyeberang sungai dengan perahu.
Sebahagian besar penduduk Cherok Paloh bekerja sebagai petani dan mengusahakan kebun getah, kelapa dan berkebun sayur. Membayar cukai tanah sekali setahun merupakan satu beban berat kepada mereka. Ketika membayar cukai tanah, mereka perlu meninggalkan kerja-kerja menoreh getah. Biasanya mereka menunggu musim tengkujuh. Apabila hari hujan dan mereka tidak dapat menoreh, mereka akan bersiap untuk ke Pekan bagi membayar cukai tanah.
Selepas berjalan kaki, mengayuh basikal, menaiki perahu menyeberang Sungai Pahang Tua, dan kemudian berjalan kaki atau mengayuh basikal ke Pekan yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Cherok Paloh, hari telah pun petang. Kata Mohd, Sidek, ketika mereka sampai, pejabat tanah kadangkala telah pun ditutup dan kakitangan di pejabat itu menasihatkan penduduk Cherok Paloh yang hendak membayar cukai tanah supaya datang semula keesokan harinya.
Penduduk Cherok Paloh membazirkan masa sehari suntuk untuk membayar cukai tanah.
Pengalaman saya di Jabatan Imigresen semalam menunjukkan kesusahan silam penduduk Cherok Paloh pada tahun 1950-an, malangnya, masih berlaku di Putrajaya pada milenium baru ini.
Nampaknya ingatan Mohd. Sidek itu belum benar-benar terserap dalam jiwa sesetengah kakitangan kerajaan.