Sumber : Utusan Malaysia 10.11.2001
SHAH ALAM 9 Nov. - Puncak Alam Housing Sdn. Bhd. pemaju bandar baru Puncak Alam mengubah strategi pemasarannya kepada menyediakan unit-unit perumahan dalam kuantiti kecil untuk menangani kesan kelembapan ekonomi ke atas sektor hartanah ketika ini.
Pengarah Urusannya, Saharuddin Abu Samah berkata, strategi berkenaan mampu meningkatkan jualan memandangkan ia memberi keyakinan kepada pembeli kerana rumah dapat disiapkan dengan cepat.
``Walaupun ditawarkan dalam kuantiti kecil tetapi pakej kita merangkumi pelbagai jenis kediaman yang sesuai dengan kemampuan segenap lapisan pembeli,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian untuk terbitan RM75 juta sekuriti pinjaman Islam Al-Bai Bithaman Ajil yang diatur oleh Abrar Discounts Bhd. (Abrar) dan pelancaran Koleksi Terbaik Puncak Alam 2001 di sini hari ini.
Turut hadir dan merasmikan majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M. Kayveas serta Pengarah Puncak Alam Housing, Mat Hairi Ismail, Pengerusi Abrar, Kamaruddin Taha dan Pengurus Besar Abrar, Hamdan Nawi.
Terbitan sekuriti itu bertujuan membiayai semula pinjaman dan pembiayaan kos pembangunan Fasa 2 dan Fasa 3 projek Puncak Alam bagi kesemua unit di bawah RM250,000.
Bandar baru Puncak Alam dibangunkan dengan kos kira-kira RM10 bilion dalam tempoh 20 tahun yang mencakupi keluasan 1,245 hektar di Kuala Selangor.
Ia juga akan mempunyai cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berupaya menampung 25,000 pelajar dan dijangka siap pada 2004.
Mengulas mengenai pelancaran koleksi terbaik itu pula, Saharuddin berkata, ia merupakan unit-unit rumah dalam kuantiti kecil yang pertama ditawarkan oleh syarikat tersebut.
Menurut beliau, koleksi berkenaan mempunyai 50 rumah teres dua tingkat dan 150 apartmen yang sudah pun dimulakan pembinaan dan masing-masing akan selesai dibina pada Jun dan Disember 2002 serta dibuka untuk jualan ketika ini.
Katanya, semua hartanah berkenaan mempunyai nilai jualan kira-kira RM29 juta.
Puncak Alam Housing sehingga kini sudah pun menjual 7,000 unit hartanah kediaman bernilai lebih RM1 bilion di mana 3,000 unit sudah pun diserahkan kepada pembeli.
Sementara itu, Kayveas pula berkata, para pemaju perlu bekerjasama dengan bank-bank untuk muncul dengan pakej-pakej menarik termasuk menawarkan diskaun bagi menggalakkan pembelian rumah sekarang ini iaitu ketika terdapat ketidaktentuan ekonomi negara dan dunia.