Sumber : Utusan Malaysia 15.04.2002
KUALA LUMPUR 14 April - Pangsapuri Rumah Alam Malaysia yang terletak di Bandar Baru Puncak Alam di Bukit Cerakah, Kuala Selangor, menawarkan kehidupan moden yang selesa dan unik untuk para eksekutif muda masakini.
Puncak Alam dalam kenyataannya di sini, hari ini berkata, pangsapuri lima tingkat itu mempunyai empat unit disetiap tingkat dan setiap unit adalah unit penjuru yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air dan ruang tamu serta dapur.
Katanya, rumah kediaman yang berkualiti tinggi itu menawarkan lebih keselesaan dengan kemasan lantai pecahan marmar untuk ruang tamu, ruang makan dan bilik tidur.
"Bagi dapur dan bilik air, lantainya diberi kemasan jubin seramik, manakala lepaan simen untuk halaman belakang.''
Katanya, bingkai tingkap aluminium dengan cermin lutsinar menjadi pelengkap untuk rumah moden ini bersama pintu kayu sebagai pintu utama, pintu sedatar untuk ketiga-tiga bilik dan pintu PVC untuk dua bilik airnya.
Tanpa meminggirkan keperluan sosial, Puncak Alam menyediakan sebuah surau untuk kemudahan beribadat, petak letak kereta, kawalan keselamatan 24 jam, tempat letak kereta dan kerja penyelenggaraan yang cekap dan profesional.
Syarikat itu berkata, Rumah Alam Malaysia telah melalui perancangan pembinaan yang pintar dengan mengekalkan keharmonian persekitaran semulajadi dan seni taman yang menarik.
Pangsapuri Rumah Alam yang berkeluasan 680, 720 dan 760 kaki persegi dijual dengan harga dari RM57,988 hingga RM79,988 dengan tawaran pakej pembiayaan istimewa dari institusi perbankan terpilih.
Katanya, Puncak Alam, Jumaat lalu telah melancarkan skim sewa dijamin Pangsapuri Rumah Alam sebanyak RM4,200 atau RM350 sebulan untuk tahun pertama yang dibayar selepas unit pangsapuri pembeli di serah milik.