SHAH ALAM 5 Mac - Pemaju Perbandaran Puncak Alam, Bukit Cerakah Development Sdn. Bhd. (Bukit Cerakah Development) menjangkakan memperoleh jualan sebanyak RM225 juta daripada'' penjualan rumah alternatif Puncak Alam untuk tempoh dua tahun akan datang.
Pengarah Eksekutifnya, Syed Hussin Shaikh Al Junid berkata, pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai berdasarkan sambutan yang memberangsangkan daripada para pembeli di pelancarannya pada minggu lepas.
Menurut Syed Hussin, selain keuntungan yang bakal diperolehi daripada jualan itu, ia juga dijangka dapat memenuhi sebahagian daripada permintaan sebanyak 80,000 unit perumahan sederhana bagi seluruh penduduk di Lembah Klang.
''Rumah alternatif Puncak Alam yang akan dibuka pada Mei ini akan mempunyai enam reka bentuk baru yang lebih menarik yang tentunya memenuhi cita rasa pembeli untuk kelainan dan perbezaan rumah kediaman mereka,'' katanya di sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran rumah alternatif Puncak Alam.
Kata Syed Hussin lagi, rumah alternatif itu merupakan perumahan teres atau link yang mana setiap unit rumah mempunyai reka bentuk fasa yang berbeza dan mempunyai halaman yang dikongsi bersama.
''Saya percaya rumah alternatif itu akan mendapat sambutan yang hangat daripada para pembeli seperti mana pada pelancaran yang lalu, kami telah menjual kesemua 100 peratus rumah alternatif teres satu tingkat dan hampir 95 peratus penjualan bagi rumah alternatif teres dua tingkat.
Walaupun kelembapan ekonomi sekarang, pihaknya yakin pembeli akan terus membeli rumah yang ditawarkan di bawah RM150,000 kerana institusi kewangan masih lagi meluluskan pinjaman mereka bawah RM150,000.
Katanya, Syed Hussin lagi, pihaknya akan meneruskan usaha mendirikan lebih banyak rumah kos sederhana dan rendah dalam tempoh 20 tahun lagi sebagai menyahut seruan kerajaan memastikan agar setiap penduduk di negara ini mampu memiliki rumah kediaman mereka.
Bandar Puncak Alam boleh dihubungi menerusi Lebuhraya Batu Tiga, Shah Alam melalui Lebuhraya Shah Alam/Batu Arang, Lebuhraya Persekutuan melalui Jalan Meru/Klang atau Lebuhraya Sungai Buloh/Kuala Selangor.
Last Updated (Wednesday, 12 October 2011 14:59)