Sumber : Utusan Malaysia 01.03.2003
SHAH ALAM 28 Feb. - Pembukaan rasmi Jalan Shah Alam-Batu Arang sepanjang 17.2 kilometer hari ini yang bernilai RM168 juta menamatkan penantian hampir tujuh tahun kepada kira-kira 300,000 penduduk sekitar Bandar Baru Puncak Alam dan Bukit Cerakah.
Pengerusi Eksekutif Puncak Alam Housing Sdn Bhd. (Puncak Alam), Tan Sri Rozali Ismail berkata, pembinaan jalan tersebut bermula sejak 1996 melalui konsep perkongsian pintar di antara kerajaan negeri Selangor dengan Syarikat Oxford Alliance Sdn. Bhd.
Menurutnya, pembinaan fasa kedua jalan tersebut terpaksa ditangguhkan selama dua tahun disebabkan kegawatan ekonomi.
Bagaimanapun, katanya, Puncak Alam sentiasa berusaha keras untuk melengkapkannya bagi memberikan keselesaan dan kemudahan kepada penduduk.
``Walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan termasuk kegawatan ekonomi dan mengambil masa yang lama untuk disiapkan, kita bersyukur kerana ia akhirnya berjaya disiapkan dan memberikan manfaat kepada pemaju dan penduduk sekitar.
``Justeru, pembukaan jalan ini yang menghubungkan Shah Alam dan Puncak Alam diharap menjadi nadi utama kepada penduduk sekitar seterusnya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negeri,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Jalan Shah Alam-Batu Arang, yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo di sini hari ini.
Pada majlis yang sama, Mohamad Khir turut merasmikan nama baru kawasan yang dimajukan oleh Puncak Alam dengan nama Bandar Baru Puncak Alam dan melancarkan produk terbaru, Lavender Ville.
Sebanyak 256 unit rumah berkelompok bercirikan kehidupan gaya Inggeris bakal di bina dan dijual pada harga bermula RM178,000.
Rumah berkelompok itu dengan dilengkapi taman riadah bercirikan taman Inggeris yang menarik dan sistem kawalan keselamatan.