Tempatan Berita Tempatan 2011 Rangka Manusia Ditemui Dalam Gaung di Puncak Alam

Rangka Manusia Ditemui Dalam Gaung di Puncak Alam


Utusan Malaysia : 05.05.2011 - KUALA SELANGOR 5 Mei – Rangka manusia yang dipercayai telah meninggal dunia lebih sebulan ditemui dalam keadaan berselerak di dalam gaung di tepi Jalan Puncak Alam menuju Kuala Selangor di sini hari ini.

Lokasi penemuan rangka itu terletak kira-kira dua kilometer dari tempat pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Taib Ahmad berkata, rangka yang belum diketahui jantina itu ditemui oleh penyelenggara Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Puncak Perdana.

-------------------------------------------------------------------------------

Rangka Berselerak


Sinar Harian
- KUALA SELANGOR – Seorang penyelenggara pagar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Puncak Perdana terkejut setelah menjumpai rangka manusia dalam gaung tepi jalan di Puncak Alam, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Mohd Taib Ahmad berkata, rangka yang tidak diketahui jantinanya itu dijumpai penyelenggara terbabit ketika sedang melakukan kerja menyelenggarakan pagar sekitar kilometer 38, Jalan Puncak Alam, di sini.

Menurutnya, selepas diberitahu mengenai perkara itu, polis bergegas ke tempat kejadian dan pemeriksaan mendapati satu rangka manusia dipercayai lebih dari sebulan ditemui berselerak dalam gaung seluas 20 kaki persegi.

Katanya, tiada dokumen pengenalan diri atau barang berharga ditemui di tempat kejadian melainkan sehelai seluar pendek kelabu.

“Setakat ini kita buka siasatan di bawah mati mengejut tetapi tidak menolak sekiranya kemungkinan terdapat unsur jenayah. Polis akan tunggu laporan forensik,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, rangka berkenaan dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat.