Utusan Malaysia : 03.02.2011 - KUALA SELANGOR 2 Feb. - Seorang anggota polis berpangkat sarjan ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala di Jalan Mahang, Puncak Alam 2 di sini hari ini.
Mayat Mat Saini Omar, 50, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam ditemui tersandar berlumuran darah di tepi kereta jenis Proton Wira berwarna kelabu oleh orang awam yang lalu di tempat kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi.
Kenderaan bernombor BGY 9676 didaftarkan atas nama isterinya yang merupakan seorang kontraktor Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritendan Mohd. Taib Ahmad berkata, turut ditemui di sisi mayat Mat Saini ialah sepucuk pistol jenis .38 'Smith & Wesson'.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, anggota polis itu mati akibat tembakan dari sebelah kiri kepalanya dan tembus ke kanan menggunakan sebutir peluru daripada pistol tersebut yang merupakan miliknya.
"Buat masa ini, kes tersebut disiasat sebagai kematian mengejut. Bagaimanapun, kita akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian ini dan mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau tidak.
"Semuanya akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan; Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob dan pegawai-pegawai kanan polis dari Shah Alam turut melawat tempat kejadian.
Mohd. Taib memberitahu, mangsa, Mat Saini yang merupakan anak jati Tanjung Karang telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lebih 25 tahun.
Katanya, mangsa yang tidak mempunyai masalah disiplin di tempat kerja sepatutnya bertugas pagi ini.
Tambahnya, mayat bapa kepada empat orang anak itu dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk dibedah siasat.
Sementara itu, seorang pengawal keselamatan yang bertugas berhampiran tempat kejadian berkata, dia hanya terdengar bunyi satu das tembakan.
Saksi kejadian yang enggan dikenali memberitahu, curiga dengan bunyi tembakan itu, dia kemudian membuat rondaan dan terkejut apabila mendapati seorang lelaki bersandar dalam keadaan berlumuran darah berhampiran sebuah kereta Proton Wira.
"Kawasan ini memang sunyi dan agak jarang dilalui oleh kenderaan dan sebab itu saya boleh terdengar bunyi das tembakan.
"Sebaik sahaja sampai, saya nampak pintu dan bonet kereta ini terbuka seolah-olah rosak tetapi sebaik sahaja menghampirinya, saya nampak seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah," ujarnya.
-----------------------------------------------------------------
Mayat Sarjan dengan kesan tembakan di kepalaSinar Harian - KUALA SELANGOR – Seorang anggota polis berpangkat Sarjan ditemui mati bersebelahan keretanya dengan satu kesan tembakan di kepala di satu kawasan tanah lapang di Jalan Mahang, Puncak Alam 2 di sini, Rabu.
Mayat Sarjan Mat Saini Omar, 50, dijumpai seorang pengawal keselamatan tersandar pada pintu belakang kenderaan itu, dalam keadaan berlumuran darah dan berhampirannya terdapat sepucuk pistol Revolver .38 serta empat butir peluru.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, Mat Saini bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan sedang bertugas ketika kejadian.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai kira-kira 11.45 pagi berhubung penemuan mayat yang berlumuran darah dan tersandar di luar sebuah kereta Proton Wira.
"Turut ditemui di sebelah mangsa ialah sepucuk pistol .38 miliknya dengan salah satu daripada lima butir pelurunya telah digunakan dan barangan peribadi mangsa seperti dompet serta telefon bimbit juga ada bersama mangsa.
"Siasatan mendapati tembakan dilepaskan dari arah kiri kepala mangsa dan ketika mayat mangsa ditemui, bonet serta pintu kiri di tempat duduk penumpang depan terbuka,” katanya.
Mat Saini berasal dari Tanjung Karang, mempunyai empat anak dan menyertai pasukan polis 25 tahun lalu.
Sementara itu, pengawal keselamatan yang tidak mahu dikenali itu berkata, dia terdengar satu tembakan kira-kira jam 9.45 pagi, seketika bertugas di kawasan perumahan berhampiran.
Curiga dengan bunyi itu, lelaki berusia dalam lingkungan 50-an, terus memeriksa sebuah kereta yang berada di tepi jalan.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan dan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob kelihatan di lokasi kejadian kira-kira 4 jam mayat itu ditemui.
Mohd Taib berkata, polis masih menyiasat punca mangsa berada di lokasi itu kerana difahamkan rumahnya jauh daripada tempat kejadian.
“Kita akan siasat daripada semua sudut, termasuk jenayah dan tekanan kerja, tetapi kita menolak kemungkinan berlaku kejadian samun kerana telefon bimbit dan dompet berada bersama mangsa,” katanya.
Setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Mayat dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat.