Harian Metro : 12.03.2010 - KUALA SELANGOR: Pengguna jalan raya yang melalui laluan Jalan Meru-Kuala Selangor di persimpangan Puncak Alam, di sini, berhadapan risiko kemalangan berikutan ketiadaan lampu isyarat di situ selain jalan yang agak terlindung.
Laluan simpang empat itu menjadi laluan utama bagi lebih 5,000 penduduk di Puncak Alam keluar masuk dan mengundang masalah sama sepanjang masa.
Tinjauan Metroplus mendapati persimpangan itu terletak 500 meter dari pintu masuk utama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam yang dilengkapi dengan lampu isyarat.
Penduduk, Syamsul Azhar Abu Hassan, 45, berkata walaupun jarak antara lampu isyarat UiTM dengan simpang masuk ke Puncak Alam agak dekat, namun ia perlu diletakkan lampu isyarat bagi mengelakkan kemalangan.
“Ramai pengguna kenderaan mengeluh apabila tiada sebarang papan tanda amaran diletakkan bagi membantu mereka.
“Tanpa lampu isyarat, keadaan menjadi lebih berbahaya kerana laluan ini juga menjadi jalan pintas bagi pemandu lori dan kontena yang sememangnya amat laju,” katanya di sini, baru-baru ini.
Difahamkan, masalah itu sudah beberapa kali dimajukan sama ada kepada pemaju, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya mengambil tindakan segera, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan dibuat.