PUNCAK ALAM : 24 November 2009 – Keputusan UPSR yang diumumkan baru-baru ini merupakan keputusan terbaik yang pernah dicatatkan oleh Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2 (SKPA2).
Keputusan rasmi yang diterima daripada pihak sekolah menunjukkan seramai 97 calon UPSR 2009 daripada keseluruhan 421 calon di SKPA2 berjaya mendapat keputusan 5A, manakala 23 calon mendapat 4A.
Sebelum ini, PAnet melaporkan bilangan calon yang mendapat 5A adalah seramai 98 orang, sebagaimana yang turut dilaporkan di
laman web rasmi SKPA2.
Menurut Guru Besar SKPA2, Tn. Hj. Muhammed Adzhar Hj. Alias ketika ditemuramah semalam, bilangan calon yang mendapat 5A dalam peperiksaan kali ini merupakan bilangan yang tertinggi dicatatkan di daerah Kuala Selangor.
Walau bagaimanapun, beliau menyatakan peratusan pelajar lulus pada tahun ini menurun daripada 87.6% kepada 85% berbanding tahun 2008.
Statistik yang dikeluarkan oleh pihak sekolah menunjukkan 97.2% calon lulus dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia (Pemahaman) sementara 94.3% lulus Bahasa Malaysia (Penulisan).
Untuk mata pelajaran lain pula, Bahasa Inggeris (88.1%), Matematik (91.2%) dan Sains (96.0%).
| Kertas | A | B
| C | % Lulus
| D/E |
BM (Pemahaman)
| 252 | 101 | 56 | 97.2 | 12 |
BM (Penulisan)
| 321 | 60 | 16 | 94.3 | 24 |
B. Inggeris
| 153 | 101 | 117 | 88.1 | 50 |
| Matematik | 139 | 94 | 151 | 91.2 | 37 |
| Sains | 192 | 167 | 45 | 96.0 | 17 |
Statistik UPSR 2009 SKPA2
Pihak sekolah juga turut mengeluarkan keputusan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) dan Gred Purata Sekolah (GPS) yang digunakan untuk penarafan sekolah bestari oleh Kementerian Pelajaran.
Tn. Hj. Muhammed Adzhar menjelaskan semakin rendah GPS dicatatkan bermakna semakin bagus pencapaian sesuatu sekolah tersebut, di mana pada tahun ini SKPA2 mencatat GPS pada 2.00 dengan GPMP setiap mata pelajaran seperti berikut,
Mata Pelajaran
| GPMP |
BM (Pemahaman)
| 1.60 |
BM (Penulisan)
| 1.41 |
B. Inggeris
| 2.17 |
| Matematik | 2.24 |
| Sains | 1.35 |
| GPS | 2.00 |
GPMP dan GPS UPSR 2009 SKPA2
Ketika ditanya berkaitan formula kejayaan sekolah meningkat bilangan pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang, beliau berkata, “Setiap sekolah mempunyai pendekatan yang berbeza dan biarlah ini menjadi rahsia kami”.
“Walau bagaimanapun, pihak sekolah memang mensasarkan 100 pelajar mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR, dan sasaran ini telah ditetapkan semenjak 4 tahun yang lepas. Tahun ini SKPA2 hampir menepati sasaran tersebut,” ujar beliau lagi.
Beliau juga turut memberitahu, pihak sekolah menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan kecemerlangan pembelajaran di mana program-program yang hampir sama dijalankan setiap tahun.
Beliau menambah, pada tahun ini kami telah menjemput 3 orang pakar dari Kementerian Pelajaran untuk memberi pendedahan teknik menjawab soalan UPSR kepada pelajar-pelajar SKPA2, khususnya kepada calon-calon UPSR 2009.
(Oleh Norhayati Abd Hadi)