Tempatan Berita Tempatan 2009 SPNB Pulihkan Projek

SPNB Pulihkan Projek


SPNB Pulihkan Alam PerdanaUtusan Malaysia : 22.11.2009 - IJOK 21 Nov. – Seramai 2,500 pembeli rumah pangsa kos rendah Bandar Alam Perdana, dekat sini lega apabila pembinaan kediaman mereka yang terbengkalai sejak tujuh tahun lalu disambung semula.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) akan mengambil alih membaik pulih rumah pangsa itu dengan anggaran RM160 juta.

Kerja-kerja membaik pulih kediaman yang sudah dibina antara 20 hingga 65 peratus itu dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2011.

Projek perumahan Bandar Alam Perdana itu membabitkan pembangunan bercampur dengan 3,819 buah rumah yang mula dibina pada 2000 dan terbengkalai pada 2002.

Bagi projek rumah pangsa itu, lebih 2,300 buah telah dimiliki.

‘‘Saya percaya dengan SPNB mengambil alih projek ini, ia akan memberi kelegaan kepada para pembelinya yang sudah lama menunggu kediaman mereka,’’ katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran program pemulihan rumah kos rendah di Bandar Alam Perdana di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Husni berkata, di bawah Bajet 2010, kerajaan telah memperuntukkan RM200 juta untuk mengambil alih projek-projek kediaman terbengkalai.

Setakat ini, SPNB mempunyai senarai 257 projek terbengkalai di seluruh negara.

Beliau menjelaskan, tidak semua projek terbengkalai boleh diambil alih oleh SPNB tetapi ia mengambil kira status dan jumlah pembeli kediaman terbabit.

‘‘Jumlah pembeli menjadi faktor utama kerana sekiranya pembeli tidak ramai maka SPNB perlu menanggung kos lebih tinggi,’’ ujar beliau.

Husni berkata, sehingga kini, sebanyak 75 buah projek perumahan terbengkalai yang melibatkan 23,185 buah rumah telah siap dibaik pulih oleh SPNB dengan kos RM433 juta.