Tempatan Berita Tempatan 2009 SPNB Ambil Alih Projek Rumah Kos Rendah Bandar Alam Perdana

SPNB Ambil Alih Projek Rumah Kos Rendah Bandar Alam Perdana


Bernama : 22.11.2009 - KUALA SELANGOR, 21 Nov (Bernama) -- Pembeli rumah kos rendah di Bandar Alam Perdana kini boleh menarik nafas lega setelah projek yang terbengkalai selama tujuh tahun itu diambil alih Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).

Upacara pelancaran Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai Terbesar di Selangor itu disempurnakan Menteri Kewangan II Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah di tapak projek itu yang terletak di Ijok di sini Sabtu.

Projek perumahan kos rendah yang bermula pada Mei 2000 itu melibatkan 2,500 unit pada harga RM35,000 setiap satu, terbengkalai sejak Disember 2002.

Ahmad Husni berkata kos untuk membangunkan semula projek tersebut menelan belanja RM160 juta dan setakat ini 2,326 unit sudah terjual.

Projek tersebut dengan tahap kesiapan di antara 20 hingga 60 peratus, dijangka siap pada pertengahan tahun 2011, kata beliau.

"Dari segi jualan, ia akan membawa pulangan dan pulangan itu akan membiayai sebilangan (daripada kos pembangunan) manakala selebihnya akan dibiayai SPNB," kata beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata jika projek yang diambil alih tidak banyak terjual, kos yang ditanggung SPNB akan meningkat.

Projek perumahan kos rendah itu adalah sebahagian daripada projek pembangunan bercampur Bandar Alam Perdana yang melibatkan 3,819 unit rumah di atas tapak seluas 157.2 hektar.

Ahmad Husni berkata 75 projek terbengkalai di seluruh negara membabitkan 23,185 unit rumah sudah siap dibaik pulih oleh SPNB sehingga kini, yang menelan belanja RM433 juta.

Untuk tahun 2010, beliau berkata kerajaan persekutuan memperuntukkan RM200 juta untuk membiayai pemulihan rumah terbengkalai.

Ahmad Husni berkata pada masa ini SPNB, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF.Inc) telah mengambil alih sebanyak 257 projek terbengkalai untuk diteruskan.

Beliau berkata proses mengenal pasti projek mana yang sudah terbengkalai bergantung kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sementara itu salah seorang pembeli rumah kos rendah itu, Roslan Shahri, 45, berkata beliau berharap pemulihan projek itu dapat dipercepatkan kerana kini beliau tinggal menyewa di Puchong dengan sewa RM400 sebulan selain daripada membayar faedah RM60 sebulan kepada bank yang menyalurkan pinjaman untuk beliau.

Roslan, kontraktor Tenaga Nasional Bhd, yakin kemampuan SPNB untuk menguruskan projek tersebut selepas menanti tujuh tahun untuk memiliki rumah sendiri.

Bagi S.Mangayee, 41, berasa lega kerana SPNB mengambil alih projek tersebut dan berharap tidak akan menunggu lama untuk tinggal di rumah baru bersama isteri dan dua anaknya.

Pasangan itu yang bekerja kilang, membayar sewa rumah RM250 sebulan di Shah Alam selain membayar faedah pinjaman rumah RM55 sebulan.