Tempatan Berita Tempatan 2009 Seni Seramik Tempatan Bertemu Asia Timur

Seni Seramik Tempatan Bertemu Asia Timur


Seni seramik tempatan bertemu Asia TimurUtusan Malaysia : 27.07.2009 - UNIK, bernilai estetika dan mempunyai persepsi yang berbeza bagi golongan yang bijak menilainya. Inilah hasil daripada ulian tanah liat dan air serta idea seni yang diilhamkan oleh penggiat-penggiat seni ukiran seramik kontemporari.

Seni ukiran kontemporari ini masih agak asing bagi masyarakat di sini yang lebih mengenali seni seramik tradisional seperti labu sayong dan pasu Sarawak.

Berbeza dengan di Jepun dan negara Barat, seramik kontemporari telah lama mendapat tempat di hati mereka. Mereka akan sentiasa membuat perubahan terhadap dunia seni itu untuk menjadikannya lebih estetika dan bernilai yang tinggi.

Bahkan, seramik beginilah yang akan menjadi kegilaan bagi pengumpul yang ingin menjadikan sebagai collectable items atau museum pieces. Harganya boleh menjangkau jutaan ringgit bergantung kepada uniknya sesuatu rekaan itu.

Mengunjungi sebuah bengkel seramik yang dinamakan Patisatustudio di Puncak Alam, Kuala Selangor, telah mengubah persepsi penulis mengenai seni ukiran seramik. Studio yang dimiliki oleh pasangan suami isteri yang berseni iaitu Ahmad Shukri Mohamed dan Umibaizurah Mahir @ Ismail ini bukan lagi asing bagi penggiat seni terutamanya seni seramik dan lukisan minyak.

Di sinilah penggiat-penggiat seni dan pelajar-pelajar seni halus berkumpul bagi mendalami dan berkongsi pengetahuan mengenai seni kontemporari. Dengan cara beginilah golongan ini boleh memperkayakan ilmu.

Setibanya penulis dan jurugambar di Patisatustudio, selain pasangan suami isteri ini turut menyambut kami ialah dua residen artis dari Jepun iaitu Chikako Yoshikawa, 61, dan Kazuko Uga,55, yang telah tinggal selama dua minggu di situ bagi mengikuti program Residensi.

Mereka kelihatan sedang tekun menyiapkan karya-karya seramik masing-masing untuk pameran yang dinamakan Tanah Timur yang sepatutnya berlangsung pada 6 Julai lalu di The Japanese Foundation.

Menurut Umibaizurah, zaman telah berubah, satu konsep baru seni ukiran seramik harus dicari dan diketengahkan demi memartabatkannya lebih jauh lagi pada pandangan global.

''Di Jepun dan negara Barat, penggiat-penggiat seninya sentiasa 'bermain-main' dengan tanah bagi mewujudkan satu barangan yang memberi nilai seni yang lahir daripada gerak jiwa, kemesraan, ketakjuban, kesenangan dan kehalusan emosi atau sebaliknya iaitu dendam, benci, cemas dan sebagainya.

''Bagi saya, seni seramik perlu mempunyai roh kontemporari jika mahu setanding dengan penggiat seni yang telah mencipta nama dalam seni ini. Dengan cara inilah sahajalah hasil ciptaan boleh dipamerkan di galeri-galeri terkenal dunia dan menjadi koleksi individu atau sektor korporat.

''Inilah yang saya mahu, seramik tanah dijadikan bahan koleksi yang begitu berharga dan dunia menghargainya dan mengenalinya ia adalah buatan Malaysia.

"Kekuatan seni Malaysia boleh ditingkatkan dan dinobatkan sebagai martabat bangsa dan menjadi koleksi di galeri-galeri ternama. Kita sebenarnya bersedia ke arah itu namun tidak ada pendedahan yang membawa ke arah itu,'' katanya.

Ujar Umibaizurah, ramai yang menyatakan bahawa seramik adalah barangan mewah dan kenyataan itu memang betul. Malangnya, ia tidak dimanipulasikan dengan cara yang betul kerana di negara ini produknya sering tertumpu pada pembuatan pasu atau pinggan mangkuk.

Sedangkan ia lebih daripada itu. Ia umpama permata dari tanah yang boleh diolah mengikut emosi, penghargaan, persekitaran dan alam semula jadi.

''Sekiranya rekaan kontemporari itu mempunyai ciri boleh berkomunikasi antara pameran dan penonton, nescaya objek itu boleh diterima dan mempunyai ilmu penciptaan yang diiktiraf.

''Bagi seseorang penggiat seni harus pandai dalam proses campuran tanah liat, bereksperimen dengan warna, membakar, menyepuh, hinggalah kepada teknik kemasan akhir bagi menzahirkan satu produk seni ukiran kontemporari yang unik lagi memberi pandangan berlainan bagi yang melihatnya.

''Saya banyak menggunakan tanah liat dari belakang rumah kampung di Muar dalam pembuatan seramik kontemporari ini. Ia amat sesuai kerana berkualiti dan senang dibentuk.

"Tanah liat inilah yang menjadi nadi kepada koleksi-koleksi yang ditempatkan di beberapa galeri seperti National Art Gallery, Kuala Lumpur; Asia Arts Network, Seoul, Korea; Norie & Hiromasa, Jepun; KT. Lim & Grace, Australia; Amin Gulgee, Karachi, Pakistan dan di beberapa simpanan peribadi orang kenamaan.

''Selain dari Muar, saya turut mendapatkan dari Kelantan dan sekitar Selangor,'' katanya yang pernah menerima National Arts Council Arts Grant, Singapura.

Bekas tenaga pengajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini menjelaskan, justeru itulah beliau dan suami, Ahmad Shukri, seorang artis prolifik dan ahli kumpulan seni Matahari membuka bengkel bagi tujuan mengetengahkan lagi seni halus kontemporari kepada masyarakat umum.

''Pada saya pendedahan kepada seni tidak harus diterima daripada orang tempatan tetapi harus dikongsi bersama dengan penggiat seni dari luar. Ini kerana pengkongsian idea, pencambahan rekaan dan pertambahan pengetahuan boleh diperoleh sekiranya dijemput golongan yang sememangnya aktif dengan seni ini di negara ini.

''Sehubungan itu, program Residensi diperkenalkan buat pertama kalinya pada bulan lalu dengan menjemput dua penggiat seni dari Jepun untuk tinggal selama sebulan di Patisatustudio untuk berkarya dan mengadakan pameran.

''Chikako Yoshikawa dan Kazuko Uga, kedua-duanya dari Tokoname-City, Jepun menjadi perintis kepada program ini. Selain menyiapkan karya untuk pameran, program ini juga dijangka memberi satu dimensi baru dalam pertukaran budaya antara penggiat seni di Malaysia,'' katanya yang banyak mengadakan pameran di negara ini dan di luar negara seperti di Korea, Indonesia, Singapura, Dubai, Pakistan, Jepun sejak 1999 lagi.

Beliau jatuh cinta dengan seni ukiran seramik ketika belajar di Fakulti Seni dan Reka Bentuk di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Beliau yang pada mulanya mengambil pengkhususan dalam bidang lukisan minyak telah beralih arah sekembalinya dari Singapura setelah melihat pameran seramik daripada artis termasyhur dunia iaitu Pablo Picasso.

Melihat kepada karya seni yang agung itu, terdetik di dalam hati untuk beralih ke seni ukiran seramik.

''Dari situ, saya tidak berpatah balik dan terus mengejar cita-cita bagi memberi roh baru kepada seni seramik negara.

"Dengan bercirikan fantasi dan fungsi, pengeluaran industri dan kraftangan serta gender, saya melahirkan idea-idea yang memberi seni komunikasi dan interaktif seperti siri rekaan iaitu Endeavor, Excavator, Secret Toys, Untouchables, Fireflies dan Trespassers.

''Walaupun hanya sesetengah orang yang betul-betul mahir yang menghargai seni seperti ini, namun itu bukan halangan kerana pada saya, saya puas dengan hasil tangan ini yang boleh menaikkan nama kraftangan negara.

''Menerusi pameran gabungan saya, Chikako dan Kazuko yang diadakan di The Japan Foundation, Kuala Lumpur pada 6 Julai lalu, adalah satu lonjakan pendedahan umum kepada masyarakat di negara ini mengenai seramik kontemporari,'' jelasnya yang merupakan antara lima pemenang Clay Sculpture, Collaboration with Children, Tokoname City Culture Hall, Tokaname, Aichi, Jepun pada 2004.

Menurutnya, bagi yang berminat untuk mempelajari seni ini bolehlah menghubungi Patisatustudio di 03-33935760 atau e-mel: This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it .


Program Residensi satukan dua negara

Bagi penggiat seni ukiran seramik Jepun, Chikako Yoshikawa, 61, program Residensi yang diperkenalkan oleh Patisatustudio buat pertama kalinya memberi satu inspirasi terbaik antara golongan seni halus kedua-dua negara.

Beliau yang berasal dari Tokoname-City dan dilahirkan di Otaru, Hokkaido memberitahu, seni ukiran seramik ini telah menjadi darah dagingnya sejak berusia 13 tahun lagi.

''Saya masih ingat datuk saya telah membeli potret seni arca dan saya meminatinya. Justeru itu saya mengambil keputusan mengikuti kelas seni dan dari situ mempelajari seni lukisan minyak.

"Namun di dalam hati menyimpan cita-cita untuk mempelajari seni arca lalu saya meneruskan pengajian dalam bidang ini di Mushashino Fine Arts University. Saya juga bertuah kerana bertemu jodoh dengan seorang pengarca dan dari situlah seni ini semakin berkembang.

''Dalam seni arca seramik, saya lebih menjurus kepada arca haiwan, bunga dan perubahan musim,'' katanya yang turut mempunyai kedai menjual barangan seramik.

Ditanya bagaimana mendapat idea, Chikako berkata, Jepun yang mempunyai empat musim memberi inspirasi kepada dirinya untuk berkarya.

Chikako memberitahu, hasil seramik yang paling mahal pernah dijualnya berharga RM45,600, arca yang berbentuk haiwan yang kini boleh dilihat di Nagoya City Botanical Garden.

Beliau pernah menerima anugerah hadiah khas 2nd World Ceramic Biennale 2003 Korea dan pemenang kedua Shuhai-dai Competition Osaka, Jepun.

Pertama kali menyertai pameran pada 1978 di Jepun, Republik Czech, Jerman, Korea, Sepanyol, Perancis, Austria dan terakhir di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu bagi Kazuko Uga, 55 yang dilahirkan di wilayah Chiba, Jepun dan graduan rekaan seramik Musashino Art University mula menceburi bidang seramik 30 tahun lalu.

"Pada saya, seni ini bukan sahaja semata-mata untuk menambah pendapatan tetapi sebagai lahiriah emosi daripada jiwa. Apabila sesuatu objek itu siap sepenuhnya, saya puas.

"Seni kontemporari ini semakin mendapat tempat di hati penggemar dan sesiapa yang benar-benar menghayati seni ini akan dapat merasai apa yang ada di sebaliknya,'' katanya yang begitu tekun sedang menyiapkan kerja-kerja yang bakal dipamerkan pada pameran Tanah Timur yang diadakan pada 6 Julai lalu.

Kazuko ialah penerima anugerah Juror's Recommendation Taiwan Ceramic Biennale; Recomendation Prize The Asahi Contemporary Crafts; Merit Prize Izushi Porcelain Competition; Juror's Recomendation Prize Menbachitaishou Competition dan Newcomer Prize Chozasho Ceramic Competition.

Mula mengadakan pameran individu pada tahun 1989 di Gallery Sera, Tokoname, Jepun; Republik Czech; India; Taiwan; Korea dan Kuala Lumpur, baru-baru ini.