Tempatan Berita Tempatan 2009 Selekoh Tajam Punca Kemalangan

Selekoh Tajam Punca Kemalangan

Sumber : Sinar Harian 06.01.09 - PUNCAK ALAM – Sebahagian penduduk memohon kerjasama pihak berwajib bagi membantu mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan kadar kemalangan di persimpangan jalan masuk di kawasan perumahan di Fasa Dua di sini.

Difahamkan, selekoh tajam sebelum masuk ke persimpangan jalan dan keadaan gelap pada waktu malam didakwa menjadi punca kemalangan sering di sini sehingga mengorbankan nyawa penduduk tidak mengira usia.

Seorang penduduk, Ahmad Kamal Effendi berkata, kemalangan sering berlaku di kawasan persimpangan berkenaan kerana pemandu dari arah kawasan perumahan untuk ke jalan besar sukar melihat melihat kenderaan yang datang dari arah kiri dan kanan jalan.

Menurut Ahmad Kamal, perkara ini terjadi ekoran selekoh yang tajam di hadapan jalan dan pokok perhiasan yang ditanam di tengah pembahagi jalan menyukarkan pemandu untuk melihat kenderaan yang datang sama ada dari kiri atau kanan jalan.

“Keadaan lebih teruk apabila waktu malam kerana keadaan jalan yang gelap kerana lampu jalan dilihat sering gagal untuk berfungsi dan kebanyakan kemalangan yang dilaporkan berlaku pada waktu malam.

“Saya tidak mahu lebih banyak nyawa terkorban di kawasan berkenaan dan tindakan pantas perlu diambil pihak berwajib bagi membantu menangani permasalahan ini supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk,” katanya

Ahmad Kamal berharap kerjasama semua pihak iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan pemaju untuk bersama-sama mencari penyelesaian demi kebaikan semua pihak.

Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kuala Selangor turut menggesa pihak berwajib menangani permasalahan ini dengan tindakan proaktif bagi mengelakkan nyawa penduduk di sini terancam.

Ketuanya, Mohd Faizal Baharuddin berkata, tinjauan AMK di kawasan kemalangan di sini mendapati, kawasan berkenaan agak terlindung daripada pandangan pengguna jalan raya berikutan dihalang pokok-pokok yang ditanam di tepi jalan dan pembahagi jalan.

Menurutnya, AMK mencadangkan supaya aktiviti menebang dan membersihkan pokok-pokok yang berada di pembahagi jalan pada kadar jarak 3 sehingga 4.5 meter dijalankan bagi memberikan penglihatan lebih jelas kepada pengguna jalan raya.

“Jaluran kuning yang lebih tebal perlu dibina dengan jarak lebih panjang sebelum menghampiri persimpangan bagi menghalang pengguna jalan raya membuat pusingan U dan memperlahankan kenderaan.

“Saya ingin menekankan bahawa aspek keselamatan di kawasan ini perlu dipertingkatkan bagi menggelakkan kekerapan kejadian kemalangan sehingga mengorbankan nyawa penduduk di sini tanpa tidak mengira usia,” katanya.

Dalam pada itu, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir Shukri Ishak ketika dihubungi berkata, siasatan lebih teliti akan dijalankan di kawasan berkenaan dan pembinaan bonggol dilihat bukan jalan penyelesaian terbaik.

Menurutnya, kesesuaian jalan perlu dilihat untuk pembinaan bonggol ini bagi menggelakkan bahaya kepada kenderaan berat kerana ia boleh mengakibatkan kenderaan berkenaan terbalik sekali gus menyebabkan kemalangan.

“Cara terbaik dilihat di sini adalah pemasangan papan tanda keselamatan atau amaran di tempat yang dikenal pasti bagi membolehkan pemandu peka dan mengurangkan kelajuan apabila tiba di kawasan berkenaan.

“Selain itu, garisan kuning juga boleh dibina di kawasan berkenaan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan siasatan lanjut akan dibuat skuad peronda JKR,” katanya.