Tempatan Berita Tempatan 2009 Satu Lagi Lampu Isyarat di Lebuhraya Puncak Alam

Satu Lagi Lampu Isyarat di Lebuhraya Puncak Alam

Kerja pemasangan lampu isyarat Alam BudimanPUNCAK ALAM : 20.02.2009 - Pengguna-pengguna Lebuhraya Shah Alam-Batu Arang atau lebih dikenali sebagai Lebuhraya Puncak Alam di sini bakal menempuh satu lagi lampu isyarat.

Tinjauan Puncak-Alam.net di persimpangan masuk Alam Budiman di Seksyen U10 hari ini, mendapati kerja-kerja pemasangan lampu isyarat sedang giat dijalankan. Ini berikutan aduan daripada penduduk di kawasan perumahan Alam Budiman berkenaan kesukaran untuk mereka keluar masuk ke Lebuhraya Puncak Alam.

Menurut kontraktor yang melakukan kerja-kerja pemasangan, arahan kerja diterima daripada pemaju perumahan berkenaan, SHL Consolidated Bhd. Kerja-kerja pemasangan akan siap menjelang akhir minggu ini dan ujian akan dijalankan dalam masa terdekat.

Lampu isyarat berkenaan akan mula berfungsi selewat-lewatnya akhir bulan ini.

Kerja pemasangan lampu isyarat Alam BudimanAliran trafik dari arah Bandar Puncak Alam ke Shah Alam dan pada arah bertentangan akan terhenti di lampu isyarat tersebut bagi memberi laluan kepada kenderaan yang keluar dari Alam Budiman.

Antara persimpangan laluan di Lebuhraya Puncak Alam yang bakal mempunyai lampu isyarat adalah di jalan masuk ke Saujana Utama. Pemasangan papan tanda lampu isyarat telah dibuat sejak awal tahun lepas. Bagaimanapun masih tiada tanda-tanda pemasangan lampu isyarat di situ akan dibuat.

Persimpangan Saujana Utama dikatakan sangat berbahaya terutama pada waktu malam. Ini berikutan ketiadaan lampu jalan yang menyukarkan pemandu melihat kenderaan yang ingin keluar dari Saujana Utama.

Puncak-Alam.net dimaklumkan, satu kemalangan telah berlaku di persimpangan tersebut dua malam yang lepas. Kemalangan berlaku disebabkan kesilapan pemandu mengagak kedudukan simpang masuk.

Walau bagaimanapun, Puncak-Alam.net tidak mempunyai butiran lanjut berkenaan kemalangan tersebut.

Sebelum itu, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor telah membuat laluan tambahan menaiki bukit sebelum dan selepas melalui persimpangan Saujana Utama.

Tinjauan kami mendapati, laluan itu terlalu pendek menyebabkan kenderaan yang perlahan tidak masuk ke lorong tersebut untuk memberi laluan kepada kenderaan yang lebih laju.

Pihak JKR gagal dihubungi untuk memberikan sebarang ulasan berkaitan.