Tempatan Berita Tempatan 2009 Samun dan Pecah Rumah Semakin Menjadi-jadi

Samun dan Pecah Rumah Semakin Menjadi-jadi

SHAH ALAM 2 : 19.02.2009 - Kejadian samun dan pecah rumah di Bandar Puncak Alam semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dan penduduk diminta lebih berwaspada. Makluman tersebut dibuat oleh Pengerusi Persatuan Penduduk Shah Alam 2 (PPSA2), En. Ahmad Zabidi bin Zainal Abidin dalam satu sesi taklimat berkenaan pengwujudan semula kawalan rukun tetangga di kawasan Shah Alam 2.

Taklimat berkenaan diaturkan oleh PPSA2 melibatkan penduduk Fasa 2B3, Shah Alam 2 yang berlangsung di perkarangan Tadika Nur Prisma di sini malam tadi. Lebih daripada 30 orang penduduk hadir dalam sesi taklimat tersebut.

Taklimat yang sama telah dianjurkan sebelum itu yang melibatkan penduduk dari Fasa 2B2, di mana hasil daripada perbincangan, penduduk yang hadir telah bersetuju untuk melakukan kawalan rukun tetangga sementara yang mengawal laluan masuk ke Shah Alam 2 dari Fasa 2.

Kawalan telah bermula semenjak 4 malam yang lepas yang dikuatkuasakan dari jam 11 malam sehingga subuh dan mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada penduduk.

Inisiatif daripada PPSA2 ini timbul berikutan beberapa kejadian samun dan pecah rumah yang berlaku di kawasan Bandar Puncak Alam.

Kejadian terbaru melibatkan kes pecah rumah seorang penduduk di Fasa 2B2 pada malam Sabtu lepas. Menurut mangsa, pada malam sebelum kejadian tersebut, rumah jiran beliau telah cuba dipecah masuk tetapi pencuri berkenaan hanya sempat mengopak pintu pagar sahaja.

Turut menjadi sasaran pencuri adalah tong gas milik Surau At-Taufiqiyyah, Shah Alam 2. 3 tong gas surau berkenaan telah dicuri, dan Puncak-Alam.net dimaklumkan telah berjaya dikesan dijual semula kepada sebuah kedai runcit di sini.

Menurut En. Ahmad Zabidi lagi, dalam satu kejadian samun di Fasa 3 melibatkan seorang wanita yang berpura-pura mengetuk pintu pagar mangsa untuk bertanya soalan. Apabila tuan rumah keluar untuk melayan pertanyaan tersebut, tiba-tiba 2 lelaki bersenjatakan parang menyerbu mangsa lalu merompak barang-barang di dalam rumah.

Kejadian tersebut berlaku pada hari Jumaat yang lalu, ketika kaum lelaki sedang mengerjakan sembahyang Jumaat. Laporan mengatakan, kejadian melibatkan 2 orang mangsa, di mana kedua-duanya wanita.

Menurut polis, suspek dilihat merayau-rayau di kawasan berhampiran menaiki kereta Proton Tiara berwarna biru kundang sebelum memilih mangsa untuk disamun.

Pihak Pondok Polis Puncak Alam mendakwa menerima laporan aktiviti yang mencurigakan terutama melibatkan sekumpulan individu yang dilihat berlegar-legar di kawasan perumahan. Menurut pihak polis, terdapat 2 kereta yang dilaporkan dalam keadaan yang mencurigakan di Bandar Puncak Alam iaitu sebuah kereta Proton Wira putih dan Proton Waja berwarna perak.

Namun, pihak polis enggan mendedahkan nombor pendaftaran kereta terbabit. Menurut polis, biasanya nombor pendaftaran kereta berkenaan adalah palsu, dan kumpulan terbabit akan menukarkannya sepanjang kegiatan mereka.