Utusan Malaysia 19.03.2009 - PUNCAK ALAM 18 Mac - Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) diminta menyediakan sebuah bangunan yang lengkap dengan bilik air dan tandas untuk dijadikan surau buat kemudahan peniaga dan pengunjung Pasar Malam Puncak Alam menunaikan ibadat solat.
Sejak pasar malam itu dibuka kira-kira setahun lalu, tempat solat peniaga di situ berupa ruang kosong di atas jalan yang sudah tentu bukan tempat yang selesa terutama bagi kaum muslimat untuk bersolat.
Menurut seorang peniaga yang ditemui Utusan Malaysia, Nasarudin Abdul Rahman, 46, mereka tiada pilihan lain selain menunaikan solat di atas jalan tar tersebut memandangkan tiada surau mahupun tempat yang bersesuaian untuk mengerjakan ibadat berdekatan tapak pasar malam itu.
Ujarnya, lokasi pasar malam berkenaan dipindahkan daripada kawasan perumahan berdekatan akhir tahun lalu, peniaga-peniaga di sini membiasakan diri bersolat di dalam keadaan daif dan hingar-bingar itu.
"Sebelum ini lokasi pasar malam ini berdekatan dengan kawasan perumahan dan terdapat sebuah surau yang memudahkan para peniaga menunaikan solat di kawasan itu namun sejak kami dipindahkan ke kawasan ini, kami terpaksa bersembahyang di atas jalan tar sahaja.
"Kami tiada pilihan lain kerana terpaksa berpindah ke sini kerana lokasi pasar malam sebelum ini tidak bersesuaian kerana berdekatan kawasan perumahan.
"Bagaimanapun, saya amat berharap sekiranya MDKS dapat mempertimbangkan cadangan untuk membina sebuah surau berdekatan kawasan ini," katanya.
Seorang lagi peniaga, Dayang Fatimah Awang Gobil, 40, berkata kemudahan surau dan tandas tidak disediakan sejak pasar malam tersebut beroperasi.
Jelasnya, dia enggan membuat aduan kepada pihak MDKS kerana bimbang dengan kemungkinan lesen mereka akan ditarik oleh pihak penganjur.
Jadi, jelasnya, cara terbaik ialah menanggung segala kesukaran tersebut memandangkan tiada pilihan lain dan solat merupakan perkara wajib ditunaikan setiap penganut agama Islam.
"Kami bukan meminta sebuah surau yang cantik apatah lagi yang melibatkan kos tinggi, namun cukuplah dengan sebuah bilik kecil yang dilengkapi bilik air dan tandas untuk memudahkan kami menunaikan ibadat," ujarnya.
Bagi Roslina Uda Ahmad, 43, dia sanggup menahan daripada membuang air besar atau kecil sepanjang pasar malam itu beroperasi kerana tidak mahu berjalan jauh untuk ke stesen minyak berdekatan yang menyediakan tandas.
Ujarnya, dia juga terpaksa membawa bekalan air sendiri untuk berwuduk dan menggunakannya secara berjimat-cermat.
"Bayangkanlah sejak pasar malam ini dibuka hampir setahun lalu, saya tidak pernah terasa nak membuang air kecil atau besar kerana saya mengurangkan minum air dan makan bagi mengelakkan perut sakit dan rasa hendak membuang air.
"Bagaimanapun, saya berharap satu masa nanti pihak MDKS dapat menyediakan kemudahan surau dan tandas berhampiran pasar malam ini," jelasnya.
Seorang pengunjung yang ditemui, Sharizal Jamhari, 27, bersetuju sekiranya bangunan usang bersebelahan tapak pasar malam tersebut dijadikan tapak surau dan tandas.
Tambahnya, sekiranya kemudahan tersebut dibina ia akan memudahkan dan memberi keselesaan kepada pengunjung dan peniaga.
"Saya rasa bangunan tersebut telah hampir beberapa tahun terbiar dan ada baiknya ia dijadikan surau dan tandas bagi memudahkan peniaga dan pengunjung.
"Sekiranya ia ditinggalkan begitu sahaja akan menjadi kawasan tempat pembiakan nyamuk, tempat aktiviti tidak bermoral serta mencacatkan pemandangan.
"MDKS perlu berinisiatif untuk membina surau dan tandas di sini... saya rasa sedih melihat peniaga-peniaga di sini bersolat di atas jalan tar," ujarnya.