Utusan Malaysia 29.10.2008 -PETALING JAYA 28 Okt. - Syarikat pembangunan hartanah, Prime Utilities Bhd., merancang untuk menyusun semula simpanan tanah pembangunan bercampur seluas 1,400 ekar (560 hektar) di Shah Alam 2 bagi mengukuhkan lagi syarikat, kata Pengarah Urusannya, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan.
"Kami mahu menyusun semula simpanan tanah kami bagi memastikan perkembangan yang lancar. Kami juga berhasrat menjadikan Prime Utilities sebagai syarikat awam utama.
"Kami mempunyai rancangan untuk menukar simpanan tanah seluas kira-kira 400 ekar (160 hektar) kepada lot perindustrian, bagi melengkapkan pembangunan di Alam Perdana, Shah Alam.
"Kami juga perlu melupuskan sebahagian simpanan tanah itu untuk mendapatkan tunai bagi syarikat.
"Kami percaya dengan keadaan ekonomi semasa, jika kami terus menumpu kepada apa yang kami lakukan, kami mungkin berdepan dengan cabaran yang besar. Itulah sebabnya kami meninjau untuk tanah perindustrian yang permintaannya tinggi," katanya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini hari ini.
Khairuddin berkata, syarikat akan menjual kira-kira 200 ekar (80 hektar) simpanan tanah untuk membiayai proses penstrukturan semula.
Beliau menjelaskan bahawa sebahagian tunai yang diperoleh daripada penjualan berkenaan akan digunakan untuk membayar semula pinjaman bank dan bagi membiayai pembangunan sedia ada serta projek baru.
Syarikat telah membangunkan 200 ekar tanahnya untuk projek perumahan, katanya.
Beliau berkata, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk memperoleh kelulusan kerajaan negeri Selangor bagi proses penyusunan semula. - Bernama
Editor :
Untuk rekod, Pime Utilities Bhd adalah syarikat induk yang memiliki Vega Builders Sdn Bhd, syarikat yang membangunkan projek perumahan di Alam Perdana, Bandar Puncak Alam yang terbengkalai sejak tahun 2003. Vega Builders diberitakan telah gulung tikar, tetapi maklumat yang diterima oleh PAnet, syarikat tersebut sedang membangunkan satu projek lain di Kuantan, Pahang.
LBCN Development Sdn Bhd sebuah syarikat yang sepatutnya mengambilalih pembangunan projek ini juga merupakan anak syarikat Prime Utilities.
Utusan Malaysia 29.10.2002
PETALING JAYA 28 Okt. - Prime Utilities Bhd. mengunjurkan keuntungan RM2 bilion daripada jualan hartanah yang kini menjadi perniagaan terasnya.
Projek yang sedang dijalankan adalah pembangunan unit-unit kediaman, komersial dan perusahaan di atas tanah seluas 548.8 hektar di Kuala Selangor yang menjadi sebahagian daripada pembangunan Bandar Alam Perdana, kata Pengerusinya, Tengku Datuk Kamarul Zaman Sultan Sir Abu Bakar.
Keseluruhan projek itu menelan belanja RM5.4 bilion dan akan dijalankan secara berperingkat selama lapan tahun, katanya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.
``Kami memulakan projek ini pada 2000 dan setakat ini telah menjual 1,016 unit rumah teres. Dan ada rancangan untuk melancarkan lot-lot banglo menjelang tahun depan,'' katanya.
Jualan yang telah didapati setakat ini adalah RM320 juta.
Tengku Kamarul Zaman juga berkata, syarikatnya telah mendapat perintah untuk membina 1,400 unit rumah berangkai yang akan dilancarkan awal tahun depan.
Beliau berkata syarikatnya menjangkakan permintaan untuk kediaman mampu milik akan terus ada. Oleh itu, ia akan terus menumpu kepada pembangunan kategori ini. - Bernama
Utusan Malaysia 30.05.2000
PETALING JAYA 29 Mei - Vega Builders Sdn. Bhd. (Vega Builders) akan melabur RM400 juta bagi membangunkan fasa pertama Bandar Baru Alam Perdana, dekat sini, kata Pengarahnya Wong Cheok Mun di sini hari ini.
Wong berkata, fasa pertama seluas 157 hektar dalam projek bandar baru yang mempunyai empat fasa pembangunan, akan mengandungi 10,000 unit hartanah pelbagai jenis termasuk rumah teres.
''Pembinaan rumah fasa pertama dijangka siap pada pertengahan 2002 manakala infrastruktur pula akan siap setahun selepas itu,'' kata beliau kepada Utusan di sini hari ini.
Beliau berkata bagi fasa pertama, Vega Builders menawarkan 389 unit rumah teres setingkat, Lucida, berharga antara RM128,000 hingga RM226,800 dan 224 unit rumah teres dua tingkat Verona RM148,800 hingga RM223,000.
Wong berkata, unit Lucida mempunyai keluasan 22' X 70' dengan tiga bilik tidur dengan dua bilik air manakala Verona berkeluasan 20'X70' menawarkan empat bilik tidur dengan tiga bilik air.
Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata, selain rumah teres setingkat dan dua tingkat, fasa pertama juga akan mempunyai lot kedai dan unit apartmen.
Wong menambah syarikat itu memerlukan lapan tahun untuk membangunkan keseluruhan bandar baru seluas 549 hektar dengan mempunyai 18,000 unit kediaman.
Sejumlah 40 peratus daripada jumlah kawasan Alam Perdana diperuntukkan bagi kawasan hijau dan kawasan riadah, kata beliau lagi.
Katanya, Vega Builders akan menyerahkan 17 tapak sekolah termasuk sekolah agama dan tadika kepada Kementerian Pendidikan untuk dibangunkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengadakan sekolah satu sesi pada masa depan.
Wong menambah, sekolah-sekolah itu terletak berhampiran dengan rumah dan para pelajar tidak perlu menaiki bas untuk mendapat pendidikan, sekali gus akan meringankan sedikit beban perbelanjaan ibu bapa.
Beliau berkata, Vega Builders juga akan membina pusat membeli-belah, pusat komersial dan pusat perkhidmatan kesihatan di Alam Perdana.
Wong berkata jualan rumah fasa pertama Alam Perdana akan dilancarkan selama tiga hari, mulai Jumaat ini di Hotel Sheraton Subang, Subang Jaya, dekat sini.