Tempatan Berita Tempatan 2009 Polis Jalankan Tugas, Penduduk Merungut

Polis Jalankan Tugas, Penduduk Merungut

Sekatan Jalanraya PolisPUNCAK ALAM : 14.03.2009 - Penduduk Puncak Alam khususnya yang melalui jalan masuk ke Fasa 2, Fasa 3 dan Shah Alam 2 malam tadi (semalam) merungut kerana terperangkap dalam kesesakan jalanraya hampir satu jam.

"Saya berada dalam kereta lebih 45 minit dari jalan masuk (Persiaran Puncak Alam 3) hendak sampai ke rumah," ujar seorang penduduk yang tinggal di Shah Alam 2.

"Kasihan pakcik itu terpaksa berjalan kaki sebab minyak habis," kata seorang lagi penduduk yang baru pulang dari tempat kerja kepada PAnet.

Tinjauan PAnet mendapati kesesakan bermula sebelum bulatan Fasa 1 sehingga sekatan jalanraya polis di persimpangan masuk ke Zon K di Fasa 2.

Sekatan tersebut dilakukan sekumpulan 5 anggota polis dari Balai Polis Saujana Utama, termasuk dibantu oleh 2 anggota dari Pondok Polis Puncak Alam.

Operasi sekatan jalanraya ini bermula pada jam 9 malam dan berakhir pada jam 11.30 malam.

Dalam sekatan ini, polis membuat pemeriksaan menyeluruh secara rambang termasuk memeriksa lesen memandu.

Ketika ditemui di lokasi sekatan, pegawai bertanggungjawab, Sarjan Mustapha Abdullah, yang juga merupakan Ketua Balai Polis Saujana Utama menjelaskan bahawa polis sedang mengadakan operasi cegah jenayah.

Semasa diajukan rungutan penduduk beliau menyatakan operasi sebegini perlu dilakukan dari masa ke semasa bagi mengelakkan kejadian jenayah daripada berlaku.

"Masyarakat perlu faham bahawa sudah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk menjaga keselamatan," kata beliau.

"Dengan kekuatan 10 anggota di Balai Polis Saujana Utama, termasuk 1 di Pondok Polis Desa Coalfields dan 2 di Pondok Polis Puncak Alam, kami sebenarnya kekurangan anggota untuk membuat pemantauan menyeluruh," beliau menambah.

Beliau menjelaskan perlunya operasi berkala sebegini supaya pihak polis dapat membantu masyarakat mengelakkan kejadian jenayah dan sebarang kejadian lain yang tidak diingini.

Sarjan Mustapha juga turut meminta penduduk memberikan kerjasama semasa pihak polis menjalankan tugas.

Selain daripada operasi sekatan seumpama ini, pihak Balai Polis Saujana Utama juga turut melibatkan rondaan yang dibantu oleh anggota-anggota kereta peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor.

Rondaan pencegahan jenayah ini meliputi seluruh kawasan di Bandar Puncak Alam termasuk Shah Alam 2 dan Alam Jaya pada waktu siang dan malam.

Untuk rekod, kawasan operasi Balai Polis Saujana Utama adalah terdiri daripada Bandar Saujana Utama (termasuk Sri Pristana), Desa Coalfields (termasuk Desa Moccis), Bandar Puncak Alam dan Kg. Bukit Cerakah.

Kawasan ini berkeluasan kira-kira 200 hektar dengan kepadatan penduduk sekitar 80 ribu orang.