Tempatan Berita Tempatan 2009 Pindah Kilang Ikut Masa Dijanjikan

Pindah Kilang Ikut Masa Dijanjikan

Sinar Harian 09.02.2009 - DESA COALFIELDS – Penduduk Desa Coalfields, Saujana Utama, Puncak Alam dan sekitar Kompleks Penjara Sungai Buloh meminta hasrat untuk melihat ladang ternakan ayam yang mengganggu mereka dapat dipindahkan pada masa yang ditetapkan.

Seorang wakil penduduk, Mohd Fauzi Mohd Saif berkata, pelbagai pendekatan diambil untuk merealisasikan hasrat penduduk bagi membolehkan bau busuk yang menghantui lebih lapan tahun lalu dapat diselesaikan.

Menurutnya, penduduk amat menantikan tarikh 3 Mac ini bagi melihat kilang dan ladang ternakan ayam seluas 5.6 hektar itu dipindahkan ke tempat yang dijanjikan dan Notis Memberhentikan Operasi Serta Merta diberikan tanpa berdalih.

“Kami berharap usaha selama ini yang digerakkan semua penduduk khususnya penduduk Desa Coalfields sendiri membuahkan hasil kerana tidak mahu lagi diperalatkan pihak tertentu bagi memuaskan pihak lain.

“Kami juga melahirkan rasa terharu dan komitmen yang ditunjukkan bagi menjayakan Majlis Dialog bersama pihak berwajib dan berharap janji yang diberikan dapat ditunaikan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Mohd Fauzi berkata, memorandum juga sudah diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi dalam kerajaan negeri bagi mengetahui permasalahan yang dihadapi penduduk dari segi fizikal dan mental terutamanya kepada kanak-kanak.

Katanya, penyakit yang disebabkan ternakan ayam iaitu Virus Selsema Burung amat dibimbangi mengancam nyawa penduduk jika virus ini menyerang kembali dan kanak-kanak tidak dapat bermain dengan selesa sama ada di luar rumah atau di kawasan permainan.

“Pelajar juga tidak dapat belajar dengan selesa kerana bau busuk tersebut berikutan bau itu datang tidak mengira masa sama ada waktu subuh, siang atau malam yang boleh menjejaskan pembelajaran mereka.

“Pintu dan tingkap rumah pula terpaksa ditutup 24 jam menyebabkan kualiti kehidupan kami sudah tiada kerana terpaksa berkurung dalam rumah dan boleh memberi kesan psikologi yang amat teruk.

“Kami berharap janji yang diberikan dapat ditunaikan supaya kehidupan yang kami idamkan dapat direalisasikan,” katanya.