Sumber : Sinar Harian 18.01.2009 - PUNCAK ALAM – Sebahagian penduduk di sini meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Selangor, mengekalkan kawasan pusingan U di hadapan sebuah stesen minyak di sini demi memudahkan pengguna jalan raya.
Seorang penduduk, Mohamad Abdullah, 35, berkata, pusingan U itu penting untuk semua pengguna jalan raya kerana ia memudahkan mereka berpatah balik selepas mengisi minyak di sini tanpa perlu membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat di hadapan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini.
Menurutnya, penduduk merasakan pembahagi jalan yang baru dibina JKR di sini bakal membebankan mereka kerana terpaksa membuat pusingan U dengan jarak yang jauh sebelum berpatah balik ke arah Kuala Selangor dan Sungai Buloh.
“Saya juga ada melihat pelan jalan berkenaan dan mendapati pembahagi jalan di sini akan menutup terus pusingan U yang ada sekali gus menyebabkan pengguna jalan raya tiada pilihan lain selain terpaksa membuat pusingan U dengan jarak yang jauh.
“Saya mengharapkan kerjasama pihak berwajib supaya dapat membantu kami mengekalkan kawasan pusingan U berkenaan bagi memudahkan penduduk untuk berpatah balik,” katanya.
Sementara itu, Jurutera JKR Daerah Kuala Selangor, Ir Shukri Ishak berkata, pusingan U yang ada tetap akan ditutup dan pengguna jalan raya boleh membuat pusingan U di kawasan persimpangan UiTM yang ada.
Menurutnya, pusingan U berkenaan ditutup berikutan faktor keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya sekali gus mengelakkan kadar kemalangan meningkat di kawasan ini apabila UiTM mula dibuka.
“Kajian dan perbincangan sudah dibuat sebelum ini dan pembinaan pembahagi jalan di sini akan menutup terus kawasan pusingan U yang ada bagi mengelakkan kejadian kemalangan berlaku di dua lokasi yang dikenal pasti iaitu di hadapan stesen minyak dan berhampiran persimpangan jalan.
“JKR sudah membuat kajian demi kelancaran lalu lintas pada masa akan datang dan sekiranya kawasan pusingan U dikekalkan akan mengundang bahaya sama ada kepada penunggang motosikal, penjalan kaki mahupun pemandu kenderaan berat.
“Kita sedia maklum kawasan di sini menjadi laluan utama kenderaan berat dan sekiranya kawasan pusingan U dikekalkan berhampiran persimpangan jalan, ia akan mengancam keselamatan sekali gus mengundang bahaya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.