Tempatan Berita Tempatan 2009 MDKS Pantau Ladang Ternakan Ayam

MDKS Pantau Ladang Ternakan Ayam

Sumber : Sinar Harian 02.02.2009 - DESA COALFIELD – Notis Memberhentikan Operasi Serta Merta akan diserahkan kepada kepada pihak pengurusan kilang pengeluaran baja organik dan ladang ternakan ayam di Batu 20 Sungai Buloh di sini sekiranya tempoh tiga bulan yang ditetapkan tidak diikuti.

Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor, Azahari Sairin berkata, notis berkenaan akan diserahkan bagi memastikan pihak pengurusan kilang mengikuti arahan yang diberikan iaitu menyerahkan jadual atau pelan pembangunan dalam tempoh yang diberikan.

Menurutnya, sehingga kini, pihak pengurusan kilang masih belum memberikan jadual atau pelan pembangunan kepada MDKS bagi prosedur pemindahan ladang berkenaan di kawasan berhampiran tempat pelupusan sampah di Jeram.

“MDKS memandang serius terhadap perkara ini dan kini dalam proses menyediakan draft undang-undang kecil berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi memastikan ladang berkenaan dipindahkan.

“1,001 ekar kawasan bermula dari Kompleks Penjara Sungai Buloh sehingga persimpangan lampu isyarat ke Puncak Alam kini dalam projek pembangunan bercampur dan ladang berkenaan perlu dipindahkan.

“MDKS kini menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan dan mesyuarat yang akan diadakan dalam tempoh terdekat ini bersama pihak pengurusan kilang itu akan memastikan jadual pemindahan serentak diserahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan daripada penduduk setempat pada Majlis Dialog Bersama Pihak Berwajib berhubung gangguan bau busuk dari ladang ternakan ayam di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Khas Menteri Besar, Mohd Zapri Miskon, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Selangor, A.Siva dan Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuala Selangor, ASP D.L Som Chai dan Ketua AMK Kuala Selangor, Mohd Faizal Baharuddin.

Sementara itu, Mohd Zapri berkata, permasalahan ini sudah diketahui Menteri Besar (MB) sendiri dan jaminan juga sudah diberikan bagi memastikan ladang yang menghantui penduduk setempat dapat dipindahkan.

Menurutnya, proses pemindahan tapak ladang yang memerlukan masa melibatkan pelbagai prosedur menyebabkan pihak pengurusan kilang melepasi tempoh yang diberikan sehingga menimbulkan rasa kurang senang penduduk.

“Namun saya amat menghargai tindakan profesional penduduk setempat yang mengadakan majlis dialog seumpama ini secara aman tanpa melibatkan kekecohan melampau bagi bersama-sama menyelesaikan perkara ini.

“Saya akan berusaha yang terbaik untuk kemudahan penduduk setempat dan memastikan segala keluhan serta cadangan yang diberikan dikemukakan kepada MB dengan kadar segera,” katanya.