Sinar Harian 10.03.2009 - DESA COALFIELDS – Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) kini memfailkan kes tuntutan terhadap sebuah ladang ternakan ayam di sini, berikutan menjalankan kerja pemprosesan baja tanpa lesen dan gagal mematuhi notis yang diberikan.
Setiausaha MDKS, Azahari Sairin berkata, isu bau busuk yang dihadapi penduduk di Taman Desa Coalfields, Puncak Alam, Saujana Utama, Pristana, Desa Moccis dan kompleks Penjara Sungai Buloh sudah difailkan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes difailkan bagi mendapatkan pendakwaan terhadap perintah muktamad untuk menutup operasi pemprosesan baja di ladang ternakan ayam berkenaan setelah notis kacau ganggu diingkari.
“MDKS sebagai penguatkuasa tempatan di dalam daerah ini kini hanya menunggu keputusan yang akan diberikan pihak pendakwaraya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk hampir lapan tahun itu.
“Saya juga memohon pihak pengurusan ladang berkenaan akan memberikan kerjasama untuk bersama-sama menyelesaikan perkara ini dan mencari lokasi terbaik untuk memindahkan ladang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, sebuah lokasi strategik sudah dikenal pasti dan Kerajaan Negeri difahamkan menyediakan lokasi berhampiran dengan tempat pelupusan sampah di Jeram untuk ladang ternakan berkenaan untuk tempoh yang dipersetujui.
“Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan baik dan penduduk dapat menikmati kehidupan yang diimpikan tanpa dibelenggu bau busuk lagi,” katanya ketika diminta mengulas masalah bau busuk berkenaan.
Terdahulu, isu bau busuk najis ayam yang melanda penduduk di empat kawasan berkenaan hingga kini ternyata tiada penyelesaian dan kesungguhan pihak pengurusan ladang ternakan dalam menyelesaikan perkara itu.
Sehubungan itu, Persatuan Penduduk Desa Coalfields (Decoreas) menyampaikan memorandum dan laporan lengkap mengenai fenomena bau busuk najis ayam di Desa Coalfields kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali
Selain itu, bagi kes rumah retak di Astana Alam di Puncak Alam pula, Azahari turut menjelaskan, pihaknya juga sudah mendapatkan khidmat Unit Forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengenal pasti bahawa bangunan yang retak itu masih selamat diduduki atau tidak.
Katanya, keputusan laporan dari konsultan pemaju kawasan perumahan berkenaan juga sehingga kini masih belum diperoleh bagi membolehkan MDKS menjalankan tindakan lanjut berhubung perkara itu.
“Namun, pihak kami akan menjalankan susulan lanjut dalam tempoh terdekat ini bergantung tempoh laporan yang diterima daripada konsultan berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.