Tempatan Berita Tempatan 2009 Lelaki Maut, Ibu Parah

Lelaki Maut, Ibu Parah

Sinar Harian : 30.06.2009 - SHAH ALAM - Seorang lelaki maut manakala ibunya cedera parah dalam kemalangan yang membabitkan dua kereta dengan sebuah lori pasir di persimpangan Kampung Budiman, Jalan Puncak Alam dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih yang dipandu Ahmad Ashraf Sulaiman, 23, bersama ibunya, Rohani Mohd Zaid, 58, dari arah Kuala Selangor dirempuh sebuah lori pasir yang datang dari arah Shah Alam.

Hasil siasatan awal pihak polis mendapati lori pasir yang dipandu oleh seorang lelaki terlebih dahulu merempuh sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna perak yang keluar dari persimpangan tersebut.

Pemandu lori kemudiannya hilang kawalan sebelum merempuh kereta yang dinaiki dua beranak malang itu.

Rempuhan kuat menyebabkan kereta mangsa berpusing sebelum terbalik di bahu jalan dan lori itu pula terbabas ke dalam belukar manakala kereta Proton Waja remuk di baha-gian depan serta belakang.