Tempatan Berita Tempatan 2009 Lagi Kemalangan di Simpang BPA

Lagi Kemalangan di Simpang BPA

Kemalangan 29 Nov

PUNCAK ALAM : 30 November 2009 - Satu kemalangan melibatkan dua buah kereta Proton Wira berlaku semalam di persimpangan masuk ke Bandar Puncak Alam.

Kemalangan yang berlaku pada jam 4.00 petang itu berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang warga emas dari arah Meru melanggar kereta yang dinaiki oleh satu keluarga yang cuba keluar dari persimpangan tersebut.

Warga emas yang berasal dari Felda Besaut, Slim River itu dalam perjalanan pulang dari Meru selepas menghantar anaknya, mengalami luka di kepala akibat terkena kaca cermin hadapan kereta yang pecah.

Walau bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta yang satu lagi tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Menurut pemandu kenderaan tersebut yang sedang dalam perjalanan pulang daripada melawat adik iparnya yang tinggal di BPA, beliau tidak nampak kereta yang datang dari arah Meru semasa hendak melintas.

Saksi kejadian melihat kereta yang dipandu oleh warga emas terbabit cuba mengelak tetapi tidak sempat.

Kemalangan menyebabkan aliran trafik di persimpangan tersebut agak terganggu berikutan kedudukan kereta yang mengalami kemalangan melintang di tengah-tengah persimpangan, dan ditambah dengan sikap pemandu-pemandu lain yang memperlahankan kenderaan bagi melihat kemalangan tersebut.

Kemalangan 29 Nov