Tempatan Berita Tempatan 2009 Lagi Kemalangan di Persiaran Puncak Alam 3

Lagi Kemalangan di Persiaran Puncak Alam 3

Kemalangan MotorPUNCAK ALAM : 12.03.2009 - Lebih dua minggu lepas dilaporkan sebuah kereta Proton Savvy terbabas, kali ini kemalangan melibatkan seorang penunggang motorsikal dan sebuah kereta berlaku di tempat yang sama.

Kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang tadi ketika warga Bandar Puncak Alam kembali ke rumah dari tempat kerja. PAnet dimaklumkan, kemalangan melibatkan seorang penunggang motorsikal gagal mengawal kenderaannya lalu menghimpit sebuah kereta Proton Wira sebelum terbabas ke tepi jalan.

Pemandu kereta yang merupakan seorang penduduk di Fasa 3, adalah seorang jurutera di tapak pembinaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam.

"Tiba-tiba penunggang motorsikal tersebut bergesel dengan kereta saya sebelum jatuh. Saya terpaksa mengelak. Itu yang saya terbabas", ujar beliau ketika ditemui di tempat kejadian yang turut disaksikan oleh seorang peniaga makanan di situ.

Kereta terbabit turut tidak dapat dikawal dan hampir merempuh kereta seorang peniaga bantal kekabu yang berniaga di tepi jalan tersebut.

"Saya tergamam tiba-tiba sebuah kereta terbabas menuju ke arah saya, mujur saya sempat melompat ke atas pagar longkang," jelas peniaga tersebut yang turut memiliki perniagaan kekabu yang terkenal di Merbau Sempak, Sg. Buloh.

"Tetapi kereta tersebut terlanggar sedikit kereta saya sebelum berhenti di sana," tambah beliau lagi sambil menunjukkan kedudukan kereta tersebut kira-kira 20 m dari tempat keretanya diletakkan.

Kemalangan MotorKemalangan Motor










Mangsa kemalangan dilihat mengalami kecederaan di kaki dan badan dikejarkan ke Hospital Sg. Buloh oleh ambulan yang sampai kira-kira 45 minit selepas kejadian.

Menurut isteri mangsa yang bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas dimaklumkan kemalangan yang menimpa suaminya memberitahu wakil PAnet, suaminya mendakwa melihat seseorang melintas jalan ketika kejadian. Beliau menambah suaminya cuba mengelak sebelum terbabas.