Tempatan Berita Tempatan 2009 KRT Puncak Alam Tingkat Keselamatan Kawasan

KRT Puncak Alam Tingkat Keselamatan Kawasan

Sumber : Utusan Malaysia 29.01.2009 - SHAH ALAM - Keselamatan penduduk Bandar Puncak Alam Fasa 2 dekat sini kini lebih terjamin dengan tertubuhnya Bilik Gerakan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di kawasan itu yang dirasmikan baru-baru ini.

Pengerusi KRT kawasan itu, Liew Khim Boon berkata, Rukun Tetangga itu ditubuhkan untuk menjaga kebajikan lebih 6,000 penduduk di kawasan tersebut.

"Kawasan ini dibahagikan kepada beberapa zon untuk menjadikan proses kawalan lebih mudah dijalankan.

"Ahli Jawatankuasa KRT akan membuat rondaan bagi memastikan kawasan ini selamat,'' katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis perasmian bilik gerakan itu.

Perasmian disempurnakan oleh Pegawai Perpaduan Negara dan Integerasi Nasional daerah, Rohaida Abdul Kadir.

Menurut beliau, KRT itu ditubuhkan sejak tahun 2006 atas inisiatif penduduk.

Namun, katanya, penubuhan KRT dan rondaan yang dijalankan masih tidak dapat menghentikan sepenuhnya kes jenayah seperti samun di kawasan berkenaan.

"Biasanya, kejadian tersebut berlaku selepas rondaan selesai dilakukan,'' jelasnya yang mengakui aktiviti rondaan perlu dipertingkatkan bagi membendung sepenuhnya kejadian jenayah.

Liew memberitahu, selain rondaan, KRT itu turut melaksanakan aktiviti kemasyarakatan yang bertujuan memberi peluang kepada penduduk untuk berkenalan.

Seorang penduduk, Muhd Sopian Mansor, 43, berharap KRT itu akan memberi semangat kepada penduduk untuk turut serta dan kerjasama daripada semua penduduk.

Siti Hawa Dahlan, 47, merasakan KRT yang ditubuhkan ini adalah satu langkah yang baik untuk memastikan keselamatan di kawasan itu lebih terjamin.