SHAH ALAM : 13.03.2009 - Kerosakan lampu isyarat di persimpangan Lebuhraya Puncak Alam-Shah Alam pagi ini mengakibatkan kesesakan hampir 5 km hingga ke persimpangan Puncak Perdana.
Kesesakan berlaku semasa pengguna sedang sibuk menuju ke tempat kerja masing-masing pada awal pagi khususnya menghala ke Shah Alam atau Subang. Keadaan hujan dan beberapa kenderaan yang mengalami kerosakan di sepanjang jalan menambahkan lagi kesesakan.
Tinjauan PAnet mendapati terdapat anggota polis trafik mengawal lalulintas di persimpangan tersebut.
Lampu isyarat tersebut mula rosak sejak awal minggu ini tetapi tidak mengakibatkan kesesakan seteruk pagi ini. Lampu isyarat tersebut diberitakan telah diperbaiki semalam. Namun, lampu isyarat tersebut kembali tidak berfungsi pagi ini.
Usaha PAnet untuk menghubungi Pejabat Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling di talian 03-56334040 untuk mendapatkan maklumbalas gagal. Walau bagaimanapun kami dapat menghubungi Pejabat Cawangan Elektrik JKR Selangor dan bercakap dengan pegawai bertanggungjawab.
Menurut En. Azmi Sajari, pegawai dari pejabat cawangan tersebut yang bertanggungjawab ke atas semua lampu isyarat JKR di seluruh Selangor, pihaknya telah memeriksa lampu isyarat tersebut beberapa hari yang lalu dan telah mengarahkan kontraktor yang dilantik untuk membuat pertukaran komponen pengawal yang rosak.
Tambah beliau lagi, biasanya komponen yang ditukar memerlukan sedikit masa untuk stabil semula dan juruteknik bertanggungjawab telah keluar membuat pemantauan pagi ini. Beliau juga memberi jaminan lampu isyarat itu akan berfungsi seperti biasa selepas ini.
Kesesakan telah mulai kurang menjelang jam 9.00 pagi dan turut kelihatan beberapa kenderaan berpatah balik daripada melalui persimpangan tersebut