PUNCAK ALAM : 12.03.2009 - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2008 telah mula diumumkan hari ini. Di Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA), pelajar didapati telah mula hadir untuk mengambil keputusan masing-masing seawal jam 9.00 pagi lagi.
Menurut Pengetua SMKPA, Tn. Hj. Khalid yang ditemui wakil PAnet selepas mengambil dokumen keputusan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Selangor pagi ini menjelaskan keputusan keseluruhan pada kali ini menampakkan peningkatan berbanding tahun yang lalu.
Namun beliau enggan mendedahkan peratusan kelulusan sebenar. Menurut beliau analisis terperinci keputusan bagi SMKPA masih belum diperolehi. Beliau meminta wakil kami bertemu guru bertanggungjawab selepas keputusan dikeluarkan sebelum bergegas ke bilik mesyuarat untuk mengadakan mesyuarat berkaitan.
Tinjauan PAnet mendapati pelajar mula mendapatkan slip keputusan SPM masing-masing pada jam 12.30 tengahari.
Usaha PAnet untuk mendapatkan keputusan penuh walau bagaimanapun gagal petang ini, apabila guru bertanggungjawab, Pn. Liza menegaskan tidak mendapat kebenaran daripada pengetua SMKPA.
Laporan yang dipetik daripada Utusan Malaysia pula memaklumkan seramai 10,080 daripada keseluruhan 442,936 calon SPM 2008 berjaya memperoleh 10A dengan seramai 347,443 atau 90.8 peratus calon mendapat sijil SPM berbanding 91.1 peratus pada tahun 2007.
Sementara itu, The Star melaporkan seramai 6,277 calon mendapat semua A dalam matapelajaran yang diambil berbanding 5,060 pada 2007.
Terdahulu PAnet juga turut mendapatkan maklumat keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2008 SMKPA yang telah terlebih dahulu diumumkan pada hari selasa lepas.
Hanya 4 calon menduduki peperiksaan ini pada tahun lepas dan kesemua calon telah lulus.