Sumber : Utusan Malaysia 27.01.2009 - KUALA LUMPUR 26 Jan. - Kumpulan Glomac Bhd. (Glomac) telah melancarkan jualan 85 buah kediaman teres dua tingkat, Lavender Homes bernilai RM23.5 juta.
Pengurus Kanan Perhubungan Korporat Glomac, Farah Elliza FD Mansor berkata, projek yang dimajukan di kawasan seluas 80 hektar, merupakan kesinambungan bagi melengkapi pembangunan kediaman di Bandar Saujana Utama yang terletak di Sungai Buloh Selangor.
Lavender Homes adalah kediaman mesra penghuni dan kontemporari moden berkeluasan 22 x 70 kaki persegi dengan menawarkan ciri-ciri seni bina yang unggul selain panel kaca yang besar dan bumbung moden .
Kediaman itu menawarkan empat bilik tidur, tiga bilik mandi dan ruang keluarga yang luas dengan kemasan lantai seramik di segenap ruang.
Ia juga direka dengan susun atur dalaman yang praktikal serta ruang dapur dan ruang makan yang lebih luas.
Projek terbaru Glomac itu terletak berdekatan Damansara, Petaling Jaya dan Shah Alam, Selangor menjadikan Lavender Homes sebagai kediaman berpakej lengkap yang dijangka siap pada tahun 2011.
Pemilik Lavender Homes tidak perlu risau daripada segi kemudahan dan urusan berkaitan kerana laluan utama dan lebuh-lebuh raya sedia ada seperti Lebuh Raya Shah Alam - Batu Arang, Lebuh Raya Koridor Guthrie dan Lebuh Raya Lembah Klang Utara (NKVE) hanya mengambil masa 20 minit perjalanan dari Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang.
Lavender Homes ditawarkan pada harga antara RM252,800 hingga RM426,730 untuk Bumiputera serta RM270,496 hingga RM444,636 bagi bukan Bumiputera.
Mereka yang berminat memiliki Lavender Homes boleh menghubungi pejabat jualan di talian 03-60385888 untuk sebarang maklumat.