Tempatan Berita Tempatan 2009 Cadangan Pindah Balai Polis Diteliti

Cadangan Pindah Balai Polis Diteliti

Sumber : Berita Harian 22.01.2009 - KUALA SELANGOR: Balai polis di Taman Saujana Utama, Seksyen U10, Shah Alam dan dua pondok polis masing-masing di kawasan pentadbiran polis Daerah Shah Alam dan Kuala Selangor, bakal dipindahkan ke satu Ibu Pejabat Polis (IPD) baru sekiranya cadangan persempadanan semula bidang kuasa polis di kedua-dua daerah itu diluluskan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ibrahim Chin, berkata perpindahan pentadbiran berkenaan adalah sebahagian daripada cadangan pihaknya tahun lalu untuk meningkatkan kecekapan menangani jenayah di kawasan terbabit.

Katanya, kedudukan ketiga-tiga kawasan itu jauh daripada kawasan pentadbiran dua IPD sedia ada iaitu Shah Alam dan Kuala Selangor.

Dua pondok polis yang dicadangkan ialah pondok polis di Taman Alam Jaya, Shah Alam dan di Desa Coalfield, Kuala Selangor.

"Jika cadangan pembinaan IPD ini diluluskan, dua pondok polis dan sebuah balai ini akan dipindahkan di bawah pentadbiran IPD itu di Sungai Buloh yang turut membabitkan beberapa kawasan di daerah Gombak.

"Berdasarkan cadangan, persempadanan semula bidang kuasa polis ini akan memudahkan kita memberi maklum balas segera kepada orang ramai sekiranya berlaku kejadian jenayah dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bilik gerakan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) oleh Pegawai Perpaduan Daerah Kuala Selangor, Rohaida Abdul Kadir di Bandar Puncak Alam, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata, cadangan itu masih pada peringkat penelitian KDN dan Unit Perancang Ekonomi (UPE).