Sumber : Sinar Harian 07.10.2008 - DESA COALFIELDS – Sebahagian penduduk di DC 2 di sini mengadu bau busuk yang didakwa berpunca daripada ladang ternakan ayam yang berhampiran kawasan perumahan mereka sehingga menyebabkan rasa kurang selesa di kalangan mereka.
Menurut seorang wakil penduduk, Nazri Hussain, pihaknya memohon pihak berwajib untuk menyelesaikan permasalahan ini yang berpunca daripada ladang ternakan ayam yang terletak di Batu 20 di sini.“Masalah ini masih lagi tidak dapat diselesaikan sehingga kini walaupun pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor beberapa kali memberi amaran kepada pihak pengurusan ladang tersebut untuk menggunakan bahan kimia yang dibenarkan bagi mengurangkan bau busuk.
“Namun arahan berkenaan sama sekali tidak berkesan atau mungkin tidak dipatuhi sepenuhnya oleh pihak Ladang kerana bau tersebut hanya hilang selama seminggu sahaja selepas aduan dibuat dan bau tersebut datang semula selepas itu,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian, di sini, semalam.
Menurutnya, bau busuk ini bukan sahaja mengganggu penduduk Desa Coalfields malahan turut mengganggu kawasan sekitarnya seperti di Saujana Utama, Puncak Alam dan Kompleks Penjara Sungai Buloh.
“Bau busuk yang bercampur aduk dengan najis dan bau semburan bahan kimia ini bukan sahaja mengganggu keselesaan penduduk tetapi boleh memudaratkan kesihatan penduduk sekitar kerana terdapat penduduk yang mengalami alahan, muntah-muntah dan sakit tekak,” katanya.
Tambahnya, penduduk di sini terutamanya kanak-kanak tidak dapat bermain dengan selesa sama ada di luar rumah atau di kawasan permainan dan terpaksa berkurung di dalam rumah.
“Keadaan ini boleh membantutkan pertumbuhan minda dan tumbesaran kanak-kanak berkenaan.
“Selain itu, anak-anak kami tidak dapat belajar dengan selesa kerana bau busuk tersebut datang tidak mengira masa, sama ada waktu subuh, siang dan malam dan boleh menjejaskan pembelajaran mereka,” katanya.
Tambahnya, penduduk terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah setiap hari manakala pakaian yang dijemur di ampaian turut berbau busuk hingga terpaksa menjemur pakaian di dalam rumah.
“Jika dibiarkan berlanjutan kemungkinan ia boleh menjejaskan kualiti kesihatan penduduk dalam masa jangka panjang terutamanya kanak-kanak. Perkara ini harus dipandang serius oleh pihak kerajaan kerana ia melibatkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk .
“Kami merayu dan memohon agar pihak berwajib dapat mengambil tindakan yang lebih agresif dengan penuh amanah dan tanggungjawab dengan menutup dan memindahkan ladang tersebut ke tempat yang lebih,” katanya lagi.