Sumber : Sinar Harian 17.10.2008 - PUNCAK ALAM – Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan dan membersihkan kawasan semak di Lorong Naluri Sukma, Fasa Dua di sini.
Setiausaha Yang Dipertua MDKS, Azahari Sairin berkata, pihaknya sudah mengenal pasti bahawa kawasan tanah lapang yang terdapat di kawasan perumahan berkenaan adalah di bawah pentadbirannya.“Pihak kami akan menjalankan kerja-kerja membersihkan kawasan tanah berkenaan dan menyelenggarakan kawasan perparitan yang dilaporkan tersumbat bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku.
“Untuk makluman, tanah berkenaan dalam proses pewartaan dan pihak kami akan mengambil tindakan selewat-lewatnya pagi esok (hari ini) bagi membersihkan kawasan itu.“Kami juga akan memastikan kerja pembersihan kawasan ini akan dimasukkan ke dalam skop kerja kontraktor di kawasan tersebut,” katanya ketika mengulas aduan penduduk taman perumahan berkenaan seperti yang dilaporkan Sinar Harian keluaran semalam.
Menurutnya, kawasan berkenaan juga merupakan tanah lapang yang tidak dibenarkan untuk menjalankan pembinaan kekal termasuk pembinaan padang permainan.
“Setiap kawasan perumahan, pasti ada kawasan lapang yang mempunyai peratusan yang perlu dipatuhi dan tidak dibenarkan menjalankan sebarang pembinaan kekal sama ada dijalankan oleh pemaju atau MDKS sendiri.
“Justeru, pihak kami berjanji akan membersihkan kawasan berkenaan ekoran sebelum ini terlepas pandang, namun masalah ular agak sukar ditangani kerana berhampiran ladang kelapa sawit.
“Saya berharap, selepas kerja-kerja pembersihan kawasan dijalankan di kawasan ini mampu mengurangkan habitat reptilia merbahaya yang mengancam nyawa penduduk,” katanya.
Terdahulu, sebahagian penduduk di lorong berkenaan memohon pihak berwajib memantau sistem perparitan di sini yang tersumbat ekoran dipenuhi rumput dan semak di sepanjang kawasan tanah kosong berhadapan dengan rumah mereka.
Penduduk mengadu, pada dua tahun pertama sejak menetap di sini hampir lima tahun lalu, pihak MDKS ada membersihkan kawasan berkenaan namun kini tidak lagi.
Kerja-kerja membersihkan kawasan perparitan dan kawasan tanah kosong berkenaan sudah tidak dijalankan menyebabkan rumput kian meninggi dan parit mula tersumbat sekaligus menjadi habitat kepada ular.