Tempatan Berita Tempatan 2008 Kos Bina Surau Masih Tidak Cukup

Kos Bina Surau Masih Tidak Cukup

Sumber : Sinar Harian 01.12.2008 - SHAH ALAM 2 – Jawatankuasa Surau At Taufiqiah Shah Alam 2 di sini memohon keprihatinan badan korporat, pemaju dan masyarakat setempat bagi membantu memberi sumbangan berbentuk kewangan untuk pembinaan surau berkenaan.

Sinar Harian difahamkan, surau sementara yang dibina tidak dapat menampung lagi kapasiti penduduk yang kian meningkat sekaligus mengambil inisiatif lain untuk membina surau di tapak yang disediakan seluas 0.6 hektar.

Pengerusi surau berkenaan, Zainuddin Mohd Shariff berkata, pihaknya kini masih kekurangan RM100,000 untuk pembinaan surau yang melibatkan kos sebanyak RM300,000 itu dan memohon sumbangan ikhlas daripada semua pihak untuk tujuan terbabit.

“Setakat ini, pihak surau dan penduduk setempat bertungkus-lumus memungut derma bagi pembinaan surau ini melalui sumbangan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Saham Wakaf Selangor dan badan-badan korporat sejak setahun lalu.

“Sebelum ini, kami menjadikan sebuah rumah yang ada di sini yang diwakafkan seorang mualaf untuk dijadikan surau dan kemudiannya membina surau sementara di tapak sementara berikutan kapasiti yang tidak mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Surau At Taufiqiah di sini, kelmarin.

Justeru beliau berharap pembinaan yang dijangka bermula sekarang dan mengambil masa selama enam bulan itu dapat berjalan dengan lancar.

Menurutnya, orang ramai yang sudi memberi sumbangan boleh menghubungi beliau di talian 013-3331681 atau terus menyumbangkan wang ke dalam akaun Bank Islam bernombor 12038010078849 atau akaun Maybank bernombor 562106217193.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Penduduk Shah Alam 2, Ahmad Zabidi Zainal Abidin berkata, jumlah penduduk yang meningkat memerlukan kawasan yang lebih luas terutamanya tempat beribadah.

“Jumlah penduduk yang meningkat sehingga 1,000 keluarga di sini menyebabkan surau yang ada tidak dapat menampung kapasitinya dalam satu-satu masa sehingga menyebabkan khemah dibina untuk penduduk yang tidak dapat menunaikan solat di dalam.

“Kami berharap sumbangan yang diberikan nanti dapat membantu melancarkan pembinaan surau ini demi kemudahan penduduk setempat beribadah,” katanya.