Berita Harian 05.02.2009 - NEW DELHI: Kerajaan India kelmarin mengumumkan rancangan melancarkan komputer riba paling murah di dunia pada harga cuma £7 (RM35.70).
Ketika maklumat mengenai komputer riba itu masih sukar diperoleh, penciptanya berkata ia akan berhubungan dengan internet tanpa wayar, didatangkan dengan memori pantas dua gigabite dan menggunakan kuasa cuma dua watt. Kerajaan berkata, prototaip itu akan siap dalam masa enam bulan.
Bagaimanapun, pakar komputer curiga sama ada komputer riba itu cuma semurah itu dan sejauh mana ia berkesan. Ada yang percaya harga £70 (RM357) lebih realistik.
Usaha menghasilkan komputer itu, yang dikenali sebagai Sakshat, bermakna ‘di depan mata’, sedang dijalankan di Institut Sains India di Bangalore dan Institut Teknologi India di Chennai.
Jika berjaya dihasilkan pada harga £7 atau 500 rupee seperti yang didakwa kerajaan, ia adalah £120 (RM612) lebih murah daripada saingan terdekatnya. Maklumat mengenai Sakshat diumumkan pada pelancaran program pendidikan baru.
Setiausaha Pendidikan Tinggi India, R P Agrawal, berkata: “Banyak ujian perlu dilakukan untuk memastikan teknologi itu berfungsi dengan baik. Sebaik ujian tamat, komputer akan disediakan untuk tujuan komersil. Sasarannya ialah menghasilkan ia dalam masa enam bulan.”
Tahun lalu, India menghasilkan kereta paling murah di dunia pada harga £1,450 (RM7,395) selain menghasilkan telefon bimbit berharga £10 (RM51).
Pengumuman mengenai komputer riba amat murah itu menjadikan blog dan ruangan sembang sibuk. Ramai yang curiga ia cuma sekadar ‘mesin pengira’ manakala yang lain menyatakan pengumuman itu berkaitan dengan pilihan raya India.
Laman web berpengaruh, arstechnica.com, berkata harga perkakasan komputer amat tinggi malah skrinnya saja berharga £20 (RM102).