Dalam Negara Berita Dalam Negara 2009 'Tiada Kes Disyaki, Rakyat Dinasihat Tak Panik'

'Tiada Kes Disyaki, Rakyat Dinasihat Tak Panik'


Berita Harian 30.04.2009
: PUTRAJAYA: Sehingga semalam, tiada kes yang disyaki memenuhi kriteria penyakit selesema babi di negara ini dan rakyat diminta supaya jangan panik atau terlalu bimbang serta tidak mempercayai khabar angin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya mendapat kerjasama penuh daripada agensi kerajaan berkaitan bagi meningkatkan pemantauan dan pengawasan kemungkinan ada kes jangkitan virus selesema babi yang dibawa masuk melalui pintu masuk utama ke negara ini

Sehubungan itu, katanya, kementerian memperuntukkan RM7 juta bagi menyediakan suntikan vaksin influenza kepada lebih 200,000 pekerja di 125 pintu masuk utama Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi risiko jangkitan virus influenza H1N1 atau selesema babi, di negara ini

Katanya, pemberian suntikan vaksin kepada doktor, jururawat, polis, Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia yang bertugas di semua pintu masuk Malaysia itu akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh dua minggu.

Bercakap kepada media di pejabatnya di sini, semalam, beliau berkata, semua hospital kerajaan mempunyai bekalan dua jenis ubat antiviral iaitu 'Tamiflu dan Relenza' mencukupi untuk menampung rawatan lebih dua juta pesakit sekiranya berlaku wabak berkaitan influenza.

Mengulas lanjut, Liow berkata, kementerian juga mengenal pasti 28 hospital kerajaan untuk dijadikan pusat kuarantin di seluruh negara, selaras pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang meningkatkan amaran Influenza Pendemik daripada fasa tiga ke fasa empat, mulai Selasa lalu.

Beliau berkata, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan turut mengeluarkan surat waspada kepada semua peringkat kemudahan kesihatan swasta dan kerajaan supaya meningkatkan pemantauan 'influenza-like illness'.

Katanya, kementerian juga bersetuju dengan saranan Jabatan Veterinar untuk memberikan dua dos pelalian H1N1 kepada babi di lebih 700 ladang ternakan seluruh negara.

"Kementerian juga sudah mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat supaya menangguh atau tidak melakukan lawatan antarabangsa terutama ke negara yang dilanda wabak sekiranya tidak perlu atau keadaan tidak mengizinkan," katanya.