Sinar Harian : 22.05.2009 - KUALA LUMPUR - Kadar tambang baru bas dan teksi dijangka diumumkan bulan depan selepas semakannya dibawa ke perhatian Kabinet, akhir bulan ini.
Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perda-gangan (LPKP), Datuk Mar-kiman Kobiran berkata, kadar tambang baru itu melibatkan bas henti-henti, bas ekspres, bas pengantara dan bas sekolah selain teksi dan kereta sewa.
“Kita sedang menunggu maklum balas dari Kemen-terian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum semakan tambang dibawa ke perhatian kabinet akhir bulan ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.
Kajian semakan tambang disediakan LPKP itu juga telah dibawa kepada perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 7 Mei lepas.
“Semakan tambang itu perlu menetapkan kadar tambang optimum. Fokus utamanya bagi membolehkan operator meningkatkan kualiti perkhidmatannya melalui keuntungan yang munasabah,” kata pakar pengangkutan awam Prof Abd Rahim Md Nor kepada Bernama di sini.
Prof Abd Rahim sebelum ini berkata, kadar tambang itu perlu mengambilkira kepentingan operator pengangkutan awam terbabit, keuntungan dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan kepada penumpang.
Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) sebelum ini mahu kerajaan menaikkan kadar tambang bas ekoran peningkatan kos operasi.
Mereka juga meminta kuota subsidi diesel bagi bas henti-henti dan bas ekspress dinaikkan, masing-masing dari 2,500 liter ke 5,000 liter dan 9,000 liter.