Dalam Negara Berita Dalam Negara 2009 Harga Gula Dijangka Naik 20 Sen

Harga Gula Dijangka Naik 20 Sen

Sumber : Berita Harian 21.01.2009

BUTTERWORTH: Harga gula dijangka naik antara 10 sen hingga 20 sen selepas sambutan Tahun Baru Cina selaras dengan perjanjian baru antara kerajaan dan pembekal bahan itu.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, memberi jaminan harga bahan itu tidak akan dinaikkan secara mendadak sehingga membebankan rakyat.

Katanya, jika kerajaan bersetuju untuk menaikkan harga gula, ia akan dilakukan secara berperingkat bagi mengelak rakyat dibebani ketika negara terkena tempias krisis ekonomi global.

"Perkara itu masih dipertimbangkan dan belum lagi dimuktamadkan. Keputusan itu berdasarkan kontrak baru berikutan perjanjian yang ditandatangani sebelum ini tamat hujung tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Bahaya Gula anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di Seberang Jaya di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden CAP, S M Mohamed Idris.

Ketika ini, gula yang termasuk dalam senarai barang kawalan dijual pada harga RM1.45 sekilogram di Semenanjung, manakala Sabah dan Sarawak dijual pada harga RM1.55.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, jika harga bahan kawalan itu dikekalkan pada harga sama tahun ini selepas kontrak baru berkuat kuasa, kerajaan terpaksa menanggung subsidi bagi mengelak kenaikan harga.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan berapa banyak subsidi perlu ditanggung kerajaan bagi mengekalkan harga semasa.

“Jika kenaikan itu terpaksa dilakukan juga, satu mekanisma baru mengenai tempoh kenaikan perlu dirangka.

"Bagi mengelak rakyat menanggung beban, mungkin harga gula dinaikkan secara berperingkat. Contohnya, ia dinaikkan dalam tempoh tiga bulan sekali dengan membabitkan jumlah kecil," katanya.