Dalam Negara Berita Dalam Negara 2009 EXORA Nama Pilihan Untuk Proton MPV

EXORA Nama Pilihan Untuk Proton MPV

SHAH ALAM : 17 Feb. 2009 - Proton Holdings Berhad hari ini telah mengumumkan memilih nama EXORA untuk kereta pelbagai guna (MPV) pertama yang dibangunkan di negara ini.

Nama tersebut telah diumumkan oleh Pengerusi Proton Holdings Berhad, Dato' Mohd Nadzmi Mohd Salleh bersama Dato' Hj. Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Pengarah Urusan Proton Holdings Berhad dalam satu majlis ringkas di sini.

Dalam majlis tersebut turut diumumkan pemenang bagi peraduan menamakan kereta tersebut yang telah dilancarkan semenjak bulan September yang lepas.

Pemenang pertama yang akan membawa pulang sebuah Proton MPV baru adalah seorang guru dari Changlun, Kedah, Norsholihin Abd Eanich, 29 tahun.

Sementara pemenang tempat kedua dan ketiga, Rashidi Tokiman, 31, dari Kluang, Johor dan Ros Hamdi Ismail, 25, dari Cheras akan menerima hadiah perjalanan ke United Kingdom yang bernilai RM 15,000 masing-masing.

Nama Exora dipilih berdasarkan bunga Ixora dengan Proton bakal menggunakan moto "Keriangan Keluarga" dalam promosinya.

Menurut sumber, Proton Exora akan dibuka untuk tempahan mulai 21 Februari 2009 dengan bayaran tempahan sebanyak RM 1,000 di semua 293 cawangan pengedar Proton Edar and EON seluruh negara. Penghantaran pertama dijangkakan pada bulan April.

Proton akan menggunakan enjin CamPro CPS 1.6 L dengan 5 variasi warna Genetic Silver, Tranquility Black, Blue Haze, Pyrite Brown dan Gaia Blue dan akan dijual dengan aggaran harga di bawah RM 80,000.

Kos pembangunan model terbaru ini dianggarkan pada RM 450 juta.

Hujung bulan lalu umum dikejutkan dengan pendedahan model ini yang sedang dibangunkan dalam sebuah akhbar tempatan, di mana Proton diberitakan telah mengambil tindakan disiplin kepada seorang pekerjanya berikutan pengedaran gambar tersebut.

Selepas pendedahan tersebut, Proton telah mengumumkan penangguhan pelancaran model ini selewat-lewatnya pada akhir suku pertama tahun ini. Sebaliknya Proton mengambil langkah di luar jangkaan dengan mengumumkan namanya hari ini.

Walau bagaimanapun Proton masih belum melancarkan model ini hari ini.