Dalam Negara Berita Dalam Negara 2008 Air percuma untuk jangka masa panjang

Air percuma untuk jangka masa panjang

Sumber - Sinar Harian 11.09.2008

SHAH ALAM - Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata rakyat Selangor akan terus menikmati bekalan air sebanyak 20 meter padu secara percuma yang dinikmati sekarang dalam jangka masa yang lebih panjang.

"Jangan bimbang kerana ini hanya merupakan isu kecil. Saya fikir ia tidak relevan bagi sebuah syarikat kecil untuk bercakap mengenai isu kerajaan negeri," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang diberikan oleh Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail bahawa Syabas akan melanjutkan program pemberian 20 meter padu air percuma kepada penduduk Selangor sehingga 31 Disember ini.

Lanjutan pemberian air percuma itu berikutan persetujuan Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) membuat pembayaran kepada Syabas bagi bulan Oktober, November dan Disember tahun ini, menurut Rozali.

Menurut Abdul Khalid, Syabas tiada kena mengena dalam perkara ini kerana tanggungjawab kerajaan negeri.

“Bukan hanya tahun ini anda akan mendapat air percuma, tetapi untuk jangka masa yang panjang. Adalah lebih baik bagi Syabas untuk menumpukan perhatian kepada peranannya dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk mengagihkan bekalan air bersih kepada pelanggan-pelanggannya.

Beliau (Rozali) tidak bertanggungjawab dalam semua hal ini, seperti air percuma, semua ini tidak mengenai dengan Syabas, ia berkaitan kerajaan negeri,” tambahnya.

Beliau berkata, isu mengenai pengorganisasian semula industri air di Selangor, kerajaan negeri telah berbincang dengan kerajaan persekutuan.

“Kita telah adakan perbincangan dengan kerajaan persekutuan dan saya rasa mereka akan mempertimbangkan mengenai isu ini dan bekerjasama dengan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau juga menasihati Syabas agar lebih menumpukan perhatian terhadap memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggannya.

Mengenai status kediaman Exco kerajaan negeri di Seksyen 7 di sini yang terbiar tidak dimanfaatkan selepas kerajaan Pakatan Rakyat memerintah, Abdul Khalid berkata ejen hartanah telah dilantik bagi mencari penyewa kepada kediaman berkenaan.