Sumber - Utusan Malaysia 24.09.2008
PUTRAJAYA 24 Sept. — Sebanyak 53 produk hasilan susu dari China menjalani pemeriksaan keselamatan mulai semalam untuk menentukan sama ada ia dicemari bahan melamin yang memudaratkan kesihatan.
Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai berkata hasil ujian kimia bagi kesemua produk itu dijangka diketahui esok dan akan dihebahkan untuk pengetahuan orang ramai.
“Selain pemeriksaan ini, kementerian dengan kerjasama Kastam Diraja Malaysia di semua pintu masuk negara juga telah mengenal pasti produk yang telah diarah untuk Pemeriksaan Tahap Keenam (penolakan) agar tidak memasuki negara ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Liow berkata Kementerian Pelajaran akan diminta memastikan kantin sekolah tidak menjual bahan makanan yang diimport dari China.
Langkah itu diambil berikutan penemuan melamin, sejenis bahan yang boleh memudaratkan kesihatan khususnya pada kanak-kanak, dalam keluaran susu dari sebuah kilang di China.
Liow berkata jemaah menteri, yang memandang berat isu itu, mengarahkan agar semua jabatan serta kementerian yang berkaitan bekerjasama secara bersepadu untuk memastikan ianya dapat diselesaikan segera.
“Kabinet mahu kesihatan rakyat diberi keutamaan,” kata Liow.