Sumber : www.kejiranan2b6.net - Jawatankuasa Penduduk Fasa 2B6 (JKP 2B6) membuka tirai tahun 2009 dengan menganjurkan Jamuan Tahunan 2009 pada hari Sabtu, 17 Januari 2009.
Cuaca yang baik juga membolehkan penduduk beramah mesra sesama sendiri dan berkenalan dengan penduduk yang baru berpindah. Program juga dimeriahkan dengan kehadiran En. Ahmad Zabidi bin Zainal Abidin, Pengerusi Persatuan Penduduk Shah Alam 2 (PPSA2) dan En Ali Abd Latif, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Persatuan Penduduk Fasa 2B5 (JKKPP 2B5).
Majlis yang dipengerusikan oleh En. Muhalimi ini dimulakan tepat jam 9.15 malam dengan bacaan doa oleh En. Roslan, diikuti dengan ucapan daripada En. Ahmad Zabidi selaku Pengerusi PPSA2. Dalam ucapannya, En. Zabidi melahirkan rasa kagumnya dengan kehadiran penduduk yang ramai. Menurut beliau, kawasan perumahan yang aktif dengan pelbagai aktiviti dengan penglibatan semua penduduknya akan menghindarkan daripada kejadian jenayah seperti kecurian, pecah rumah dan sebagainya.
Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan Pengerusi JKP 2B6, En. Zaine mengingatkan penduduk tentang semangat kerjasama khususnya dalam kawasan kejiranan ini. Beliau juga memaklumkan aktiviti-aktiviti seterusnya yang akan dilangsungkan sepanjang tahun 2009 ini seperti Mesyuarat Agong Tahunan, Sukaneka dan juga program gotong royong.
Program diteruskan dengan acara jamuan di mana pihak jawatankuasa telah menyediakan juadah menarik iaitu sate ayam dan daging disamping menu utama terdiri daripada nasi goreng, bihun goreng dan spaghetti. Selain daripada itu, penduduk juga telah menyumbangkan juadah sampingan yang tediri daripada kuih-muih dan buah-buahan.Sambil penduduk dan tetamu jemputan menjamu selera, mereka telah dihiburkan dengan persembahan daripada anak-anak penduduk. Persembahan terdiri daripada nyanyian nasyid dan tarian dengan iringan lagu Bunyi Gitar yang telah diselaraskan oleh Pn. Rafeah. Juga sebagai selingan, acara cabutan bertuah telah dibuat dengan menyediakan hamper-hamper untuk para penduduk yang bertuah.
Acara tamat pada jam 10 malam.
Untuk melihat foto sekitar program, sila lawati Koleksi Foto 2B6