
KG. BUKIT CERAKAH : 09.03.2009 - KAFA Integrasi Kg. Bukit Cerakah hari ini telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2008 bagi memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar cemerlang sepanjang tahun 2008 yang lalu.
Majlis yang dijadualkan bermulakan pada jam 8.00 pagi ini bermula agak lewat berikutan keadaan hujan yang turun berterusan pada pagi tersebut. Majlis telah dirasmikan oleh En. Huzairi Ibrahim, Ketua Operasi, Lembaga Zakat Daerah Kuala Selangor.
Ketika ditemui oleh wakil PAnet, Ustazah Hjh. Noraini Hj. Angsar, Guru Besar KAFA Integrasi Kg. Bukit Cerakah menjelaskan keputusan keseluruhan Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada tahun lepas agak membanggakan dan meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.
KAFA tersebut mencatatkan peratusan kelulusan 78.2% di mana seorang calon mendapat pangkat Mumtaz dan lime belas yang lain mendapat pangkat Jaijiddan. Seorang lulusan KAFA ini telah berjaya melanjutkan pelajaran ke sebuah sekolah berasrama penuh, sementara lima belas yang lain mendapat tempat di beberapa buah sekolah menengah agama di seluruh negara.
Acara diteruskan dengan Program Kemahiran Amal Islami yang berkonsep program realiti Islam yang mencungkil pengetahuan dan kemahiran pelajar-pelajar berkaitan penghayatan Islam dalam kehidupan seharian.

Antara acara yang dipertandingkan adalah Nasyid, Marhaban, Hafazan,Tilawah, Solat Subuh, Syair & Syarahan B.Melayu dan Bahasa Arab, Muhawarah,Bercerita, Azan & Khutbah Dan Acara Mewarna.
Pelajar-pelajar dipecahkan kepada empat kumpulan iaitu Ferqah Asadullah, Ferqah Karamullah, Ferqah Wajhullah dan Ferqah Saifullah yang mengumpulkan wakil bagi setiap peringkat darjah. Ferqah Saifullah telah berjaya menjadi pemenang keseluruhan acara yang dipertandingkan.
Program tamat pada jam 1.15 petang. Walaupun hujan turun sepanjang hari, sambutan daripada ibu bapa dan pelajar adalah menggalakkan.
Untuk rekod KAFA Integrasi Kg. Bukit Cerakah adalah sebuah sekolah agama bantuan penuh kerajaan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). KAFA ini beroperasi di bangunan yang dahulunya merupakan balai masyarakat untuk penduduk di Kg. Bukit Cerakah.
Enrolmen ke KAFA tersebut juga dibuka kepada pelajar-pelajar yang berasal dari Bandar Puncak Alam dan ini dapat mengurangkan kesesakan pelajar di sekolah-sekolah agama di sekitar Bandar Puncak Alam.