Sumber : www.alfurqanonline.net - Bersempena cuti sekolah hujung tahun, sekali lagi Lajnah Kebajikan dan Rekreasi telah menganjurkan program berkhitan beramai-ramai. Selain memberi kemudahan kepada ibubapa yang merancang untuk mengkhitankan anak mereka, program ini juga membantu mengurangkan kos terutama kepada ibubapa yang ingin membuat sedikit majlis keraian. Bagi peserta program ini, kos majlis keraian yang dikongsi bersama dapat menghidangkan sedikit keceriaan kepada para peserta yang akan menghadapi detik mencabar. Yuran penyertaan sebanyak RM170 bagi menampung kos jamuan dan hiburan selain dari caj yang dikenakan oleh pihak doktor.
Pada malam sebelum program tersebut berlangsung, para peserta bersama keluarga mereka menghadiri upacara khas yang diadakan di surau. Atucara bermula sejurus selepas solat Maghrib di mana upacara membaca Yaasin dan tahlil sebagai doa selamat bagi mengisi ruang di antara Maghrib dan Isya'. Selepas solat Isya' pula, solat hajat secara berjemaah dilakukan, mengharapkan supaya program keesokan harinya berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan atau masalah.
Jamuan makan malam dan hidangan khas telah disediakan bagi 35 peserta yang mengambil bahagian. Mengisi ruang khas bagi upacara makan beradap, para peserta yang lengkap berpakaian tradisional baju Melayu diraikan juga dengan cenderahati dan hiburan yang disediakan, juga sebahagian dari program Malam Kesenian Islam.
Pada penghujung persembahan nasyid, giliran ibubapa pula membuat cabutan bagi menentukan nombor giliran berkhitan bagi anak masing-masing. Anak kepada Sdr Zulraimi yang telah memberikan persembahan cerita Nabi Yunus a.s. telah dianugerahkan giliran pertama.
Pada awal pagi keesokan harinya, para peserta yang lengkap berbaju Melayu telah bersedia untuk diarakkan dan melalui upacara mandi beramai-ramai. Kerjasama dari pihak bomba menyaksikan kanak-kanak yang terlibat dimandikan dengan semburan air paip bomba sehingga setiap dari mereka basah kuyup dan kesejukan.
Untuk memudahkan pengurusan dan mengelakkan masa menunggu yang lama, para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan, dan sebahagiannya dibenarkan pulang dahulu dan diminta datang semula pada masa yang telah ditetapkan. Kerja-kerja mengkhitan dijalankan oleh dua orang doktor berpengalaman di dalam dua bilik yang berasingan. Setiap peserta mengambil masa lebih kurang 10 minit sahaja. Teknik "clamp" telah digunapakai bagi memudahkan kerja. Kesemua 35 orang peserta telah berjaya menjalani proses berkhitan sekitar jam 12 tengahari. Syukur kehadrat Allah swt, segalanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak dikehendaki.