Utusan Malaysia 13.03.2009 - Pelbagai cara umat Islam di Malaysia menyambut Maulidur Rasul setiap kali menjelang tanggal 12 Rabiulawal yang jatuh pada Isnin lalu.
Selain mengadakan perarakan dan ceramah agama atau pun forum pengkisahan sejarah hidup dan perjuangan Nabi Muhammad SAW, sambutan itu juga diberi nafas baru melalui beberapa acara mengikut kesesuaian setempat.
Antara yang mengadakan sambutan itu ialah lebih 500 penduduk Islam di taman perumahan Bangi Perdana, Selangor.
Mereka membawa sepanduk puji-pujian terhadap Nabi Muhammad SAW dan slogan 'Muhammad Rasul Penyelamat Ummah dan Wahdah Pemangkin Khairah Ummah' sambil berselawat sepanjang 500 meter menuju ke perkarangan masjid.
Perarakan yang diselangi dengan selawat yang di ketuai imam surau, Karim Kecik bertujuan memupuk semangat perpaduan dan silaturrahim di kalangan penduduk tempatan.
Acara kemuncak pada sebelah malam diisi dengan ceramah perdana oleh Ann Wan Seng dari Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Zamihan Mohd. Zin dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Mohd. Mestah Anu dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Turut diadakan ialah pertandingan perarakan, pertandingan azan, iqamat, hafalan, mewarna peringkat kanak-kanak, remaja dan karnival jualan untuk mengisi tabung surau.
Sementara itu, di kawasan perumahan Puncak Alam, Selangor, sambutan Maulidur Rasul di Surau Al-Furqan Fasa 2 tidak kurang meriahnya.
Penduduk turut bergotong-royong menyembelih seekor lembu untuk sajian kepada lebih 1,500 penghuni yang menjayakan majlis tersebut.
Turut diadakan ialah pertandingan hafazan sekolah rendah dan menengah, azan dan juga bercerita kisah-kisah nabi. Kesemua acara mendapat penyertaan yang menggalakkan.
Sementara itu, surau al-Mutmainnah Pandan Perdana, Kuala Lumpur turut mengadakan forum bertajuk 'Meneladani Rasulullah berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah' sempena Maulidur Rasul.
Ahli panel ialah Hazman Hashim dari Jawi dan Sihabuddin Alang Mat Piah (pendakwah bebas). Moderator ialah Mohamad Afandi Che Harun.