Pengguna dan Pengunjung www.Puncak-Alam.net yang dihormati
Terima kasih kerana mengunjungi portal ini. www.Puncak-Alam.net dibangunkan dengan tujuan utama sebagai satu gerbang interaksi dan perkongsian maklumat. Pada era teknologi maklumat ini, tidak dapat dinafikan peranan yang dimainkan oleh internet dalam menyampaikan informasi dengan lebih pantas dan berkesan.
Portal ini tiada kaitan dengan mana-mana pemaju, badan kerajaan atau organisasi bukan kerajaan. www.Puncak-Alam.net merupakan inisiatif sekumpulan warga Bandar Puncak Alam yang mempunyai visi memanafaatkan pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat untuk kebaikan komuniti setempat.
Kehadiran www.Puncak-Alam.net yang telah mula merangkak di jaringan alam siber bermula pada 5 September 2008 ini, diharapkan sedikit sebanyak dapat memacu penggunaan teknologi maklumat dalam proses integrasi masyarakat yang baru berkembang di Bandar Puncak Alam ini. Selain itu Pihak Pentadbir Portal juga mengalu-alukan sebarang laporan, berita atau artikel berkaitan yang dapat dikongsikan bersama.
Bandar Puncak Alam, tidak seperti mana kebanyakan kawasan perbandaran baru lain yang banyak dimajukan kini, mengandungi banyak komponen projek perumahan yang dibangunkan oleh pemaju yang berlainan. Ini memungkinkan interaksi yang tidak teradun sempurna antara kelompok masyarakat yang terpisah secara lahiriah ini. Lantaran itu, www.Puncak-Alam.net diharapkan menjadi wadah pengganti yang membolehkan interaksi sesama warga Bandar Puncak Alam dapat direalisasikan.
Walau bagaimanapun, Pihak Pentadbir Portal tidak menutup ruang lingkup capaian portal ini yang terhad kepada warga Bandar Puncak Alam sahaja. Sebaliknya, portal ini juga boleh turut digunakan sebagai sumber informasi dan rujukan kepada pengunjung lain di luar Bandar Puncak Alam.
Pentadbir Portal
16 Februari 2009